suria

[V] Motosikal RXZ boleh cecah RM1 juta? Ada sebab mengapa harga ‘keras’, hanya yang kenal ‘bare’ tahu menilai

Cikna mahu menjual semula RXZ yang dibelinya pada tahun lalu dengan harga RM1 juta.

MOTOSIKAL jenis Yamaha RXZ sekali lagi mencuri perhatian apabila pengasas kosmetik, Farhana Zahra mahu menjualnya dengan harga RM1 juta.

Farhana atau lebih dikenali sebagai Cikna mendakwa motosikal berwarna merah itu belum didaftarkan lagi dan masih disimpan di kilang.

Dia membeli motosikal berkenaan pada tahun lalu dengan harga lebih RM140,000.

"Satu sahaja kat Malaysia dan ada dengan Cikna. Motosikal ini, Cikna beli pada harga RM146,000, tapi disebabkan Cikna dah simpan setahun, Cikna nak jual RM1 juta sahaja," katanya.

Kata Cikna, bagi mereka yang berpandangan harga yang diletakkannya itu mahal, individu tersebut tidak tahu menilai motosikal berkenaan.

Bagi pempengaruh automotif, Zarifkira [Tonton Video] RXZ bukan sekadar kenderaan, tetapi simbol nostalgia dan status.

“Apa yang saya nampak, RXZ ni bukan sekadar motosikal. Ia adalah memori orang yang membesar pada era 90-an.

"Ramai sanggup bayar mahal untuk hidupkan balik kenangan lama tu,” kongsinya di TikTok. 

Zarifkira memberi pandangan berkaitan harga RXZ yang semakin mahal.Zarifkira memberi pandangan berkaitan harga RXZ yang semakin mahal.

Jelasnya, RXZ yang tidak lagi dikeluarkan sejak lebih sedekad lalu kini semakin sukar didapati dalam keadaan standard kilang.

"Faktor ini membuatkan nilainya melonjak, sama seperti kereta klasik yang dipelihara rapi dengan komponen asal.

“Kalau ada RXZ dalam keadaan sempurna, barang semua original, itu dah kira liga bangsawan. Lagi dijaga, lagi tinggi harganya,” tambahnya.

Menurut Zarifkira, fenomena harga luar biasa itu menimbulkan perdebatan  sama ada ia sekadar hype atau pelaburan jangka panjang.

"Ada yang percaya harga RXZ akan terus meningkat. Tak mustahil kalau owner nak jual balik motor ni lagi 20, 30 tahun, harganya boleh cecah RM180,000 atau RM200,000,” jelasnya.

Namun, dia turut mengingatkan bahawa RXZ tidak boleh dibandingkan dengan motosikal moden dari segi keselamatan dan teknologi.

“ABS pun tak ada, teknologi pun ketinggalan. Orang beli RXZ bukan sebab teknologi, tapi kerana nilai sentimental dan koleksi,” katanya.

Tambahnya, memiliki RXZ dengan harga mencecah ratusan ribu bukanlah soal logik, tetapi kepuasan peribadi.

Artikel Lain