MEREKA yang terjebak dengan hutang bank pasti faham betapa peritnya apabila panggilan kutipan hutang tidak pernah berhenti.
Berkongsi pengalaman sama, seorang individu yang pernah menanggung hutang mencecah lebih RM100,000 menceritakan bagaimana kehidupan sehariannya dihantui panggilan pihak bank dan pengutip hutang atau debt collector (DC).
Segalanya bermula apabila dia gagal membayar pinjaman dan kad kredit selama beberapa bulan.
Pada bulan keempat, panggilan yang diterima bukan lagi daripada pegawai bank, tetapi daripada DC yang bertindak mengugut, menakut-nakutkan sehingga datang ke rumah.
"Banyak orang tak tau walaupun DC mewakili pihak bank untuk menuntut hutang tapi ada banyak garis panduan yang ketat.
Mereka yang terbeban cuba mencari jalan keluar dengan pelbagai cara termasuk melakukan kerja sambilan. -Gambar hiasan
"Garis panduan ini ditetapkan oleh Bank Negara sendiri," ujarnya sambil memperincikannya satu persatu.
Dia yang enggan mendedahkan identiti berkata, golongan DC dilarang daripada menggunakan keganasan, ugutan atau gangguan termasuklah mengeluarkan bahasa kesat, mengancam dan memalukan peminjam.
Selain itu, mereka tidak dibenarkan untuk mendedahkan hutang peminjam kepada rakan, keluarga atau rakan sekerja di bawah Akta Perlindungan Data Peribadi (PDPA).
Golongan DC juga tidak boleh membuat tuntutan palsu atau ugutan tentang tindakan undang-undang dan membuat panggilan sebelum 8 pagi dan selepas 7 malam.
Mereka juga tidak boleh membuat panggilan untuk tuntut hutang melebihi tujuh kali dalam seminggu.
ARTIKEL BERKAITAN: Jangan cuba-cuba ‘reject’ panggilan bank, takut menyesal tak sudah! Lelaki ini kongsi pengalaman jadi muflis, gelap masa depan
Menurut pemuda ini, selepas mengetahui haknya, dia mula bertegas dan menolak untuk berurusan dengan DC.
Malah dia kembali mengeluarkan ugutan untuk membuat laporan kepada Bank Negara sekiranya terus diancam DC.
"Selepas dapat kerja dengan gaji RM8,000, saya buat kiraan baki gaji selepas membuat segala penolakan termasuk pinjaman rumah dan kereta.
"Saya jumpa pengurus unit pinjaman bank, jangan cari pegawai lain kerana mereka tidak boleh buat keputusan dan buang masa.
"Dia cakap, kalau saya mampu buat bayaran secara sekali gus cuma bayar RM18,000, maksudnya saya cuma perlu bayar balik capital.
Pekerjaan gig antara pilihan segelintir individu yang ingin menambah pendapatan. -Gambar hiasan
"Selepas berapa kali negotiate, bank bagi pilihan kedua bayar RM20,000 secara ansuran selama lima bulan dengan setiap bulan RM4,000," tambahnya yang bersetuju dengan tawaran itu.
Susulan daripada itu, dia mula bekerja keras dan melakukan pelbagai kerja sambilan termasuklah pada cuti Sabtu dan Ahad.
Menurut lelaki ini, dia berjaya memperoleh anggaran RM2,000 menerusi kerja sambilan seterusnya melangsaikan satu persatu hutang yang ada.
"Saya gunakan cara sama untuk negotiate dengan bank dan memang terperanjat tengok diskaun yang boleh dapat.
"Semua orang kena ingat bahawa pihak bank rela negotiate cara bayaran lebih baik berbanding saman muflis," tambahnya sambil menyatakan berjaya selesaikan semua hutang dalam tempoh tiga tahun.