suria

Rupanya berkepala botak boleh jimat hingga RM30 sebulan... Lelaki ini kongsi tip urus kewangan lepas kahwin

Pelbagai cara boleh dilakukan untuk menstabilkan kewangan selepas berkahwin. -Gambar hiasan

KEHIDUPAN selepas mendirikan rumah tangga sememangnya menuntut banyak perubahan, terutama daripada segi pengurusan kewangan. 

Demi memastikan keluarga kecil dapat hidup selesa, ada yang sanggup membuat keputusan besar termasuk melepaskan harta, mengurangkan komitmen dan menukar gaya hidup seperti seorang pengguna media sosial ini.

Menerusi hantaran di laman Thread, Nizam Jensani berkongsi lima langkah kewangan yang dilakukannya selepas mendirikan rumah tangga.

Tindakan itu diambil bagi memastikan tahap kewangannya lebih stabil dan dapat menampung keperluan keluarga.

Tanggungjawab lelaki besar selepas bergelar suami. -Gambar hiasan

Tanggungjawab lelaki besar selepas bergelar suami. -Gambar hiasan

1. Let go kereta Bezza

Nizam menyerahkan kereta Bezza miliknya kepada adiknya untuk disambung bayar. 

Mengakui sedikit rugi kerana telah membayar deposit kereta sebanyak 22 peratus, namun dia rela berkorban demi menjimatkan kos.

Baginya, cukup sekadar memiliki sebuah kereta Perodua Axia untuk kegunaan bersama isteri manakala motosikal digunakan sebagai pengangkutan harian.

2. Batalkan ASBF

Keputusan untuk membatalkan langganan Amanah Saham Bumiputera Financing (ASBF) yang dibuat sebelum ini adalah kerana dia tersilap mengambil pakej.

Ia berikutan, pakej yang diambil itu menyebabkan dia mempunyai komitmen bulanan tinggi. 

Malah dia beranggapan, adalah lebih baik untuk mengambil jumlah kecil dengan mengehadkan tempoh pinjaman sekitar lima tahun berbanding 40 tahun.

Bukan mudah bagi lelaki untuk tampil dengan imej botak. -Gambar hiasan

Bukan mudah bagi lelaki untuk tampil dengan imej botak. -Gambar hiasan

3. Botak

Bukan mudah bagi lelaki untuk membotakkan kepala.

Namun bagi Nizam, 'trend' itu dilakukannya demi untuk menjimatkan kos. 

Menurutnya, kos pemotongan rambut berharga RM15, oleh itu, dia berjaya berjimat sekitar RM30 sebulan kerana kebiasaannya perlu menggunting rambut sebanyak dua kali.

4. Menyewa jauh dari tempat kerja

Bagi mengurangkan beban bulanan, Nizam turut berpindah ke rumah sewa yang lebih murah di Kota Kemuning dengan kadar sewa hanya RM400 sebulan.

Walaupun perlu menempuh perjalanan 30 hingga 40 minit menaiki motosikal ke tempat kerja setiap hari, langkah ini ternyata membantu menstabilkan kewangan keluarganya.

5. Buat kerja sambilan atau freelance

Nizam turut melakukan kerja sambilan dengan mengajar kaedah membangunkan website dan servis digital kepada pelanggan.

Mengakui penat kerana cutinya dihabiskan untuk kerja sambilan, namun baginya kesusahan itu akan diganti dengan keberkatan dan pahala berterusan untuk dirinya dan keluarga.

Artikel Lain