RAMAI pemegang kad kredit mengeluh kerana baki hutang tetap tidak surut malah semakin bertambah walaupun tidak pernah culas membuat bayaran balik bulanan kepada bank.
Situasi itu berlaku kerana kadar faedah kad kredit yang mencecah 18 peratus setahun serta kesan faedah kompaun (compound interest) apabila hanya bayaran minimum dibuat.
Menurut pengguna maya dikenali Faridzhuan Firdaus, keadaan itu boleh menjejaskan aliran tunai bulanan selain menimbulkan tekanan emosi kepada pengguna.
“Ramai tak sedar, kad kredit ni memang perangkap senyap. Kalau tak kawal, hutang makin membiak.
"Jalan keluar yang ramai tak tahu adalah Balance Transfer 0%,” kongsinya di Threads.
Penggunaan kad kredit tanpa kawalan boleh menyebabkan muflis. -Gambar hiasan
Katanya, menerusi kaedah itu, bank baharu akan melangsaikan hutang kad kredit pengguna di bank asal.
Selepas itu, pengguna hanya perlu membayar semula kepada bank baharu tersebut mengikut pelan ansuran yang ditawarkan, biasanya enam hingga 12 bulan tanpa sebarang faedah.
Contoh:
- Hutang asal: RM2,000
- Pilih pelan 12 bulan → RM166.67 sebulan
- Tiada faedah, tiada caj tersembunyi (jika patuh syarat)
- Selepas 12 bulan, hutang selesai sepenuhnya
Kelebihan Balance Transfer
- Hutang kad kredit asal diselesaikan
- Bayaran bulanan lebih ringan
- Tiada caj faedah berpanjangan
- Aliran tunai lebih teratur, emosi lebih stabil
Bagaimanapun, Faridzhuan mengingatkan pengguna supaya tidak menyalahgunakan kad kredit baharu selepas hutang lama diselesaikan.
“Balance Transfer bukan lesen untuk terus berbelanja ikut suka. Kalau disiplin tak dijaga, pengguna akan terperangkap dalam kitaran hutang yang sama,” katanya.
Jelasnya, Balance Transfer 0% dilihat sebagai satu strategi sah dan berkesan untuk keluar daripada perangkap hutang kad kredit, sekali gus membantu rakyat menguruskan kewangan dengan lebih bijak dan tenang.