TULAR hantaran seorang ejen hartanah berhubung keinginan pasangan suami isteri yang mahu memiliki rumah sendiri.
Selepas bertemu dengan pasangan terbabit, dia dikejutkan dengan pertengkaran tentang nilai rumah yang ingin dibeli.
Menurutnya, suami yang bergaji RM3,500 memilih rumah berharga RM330,000, namun isterinya yang hanya berstatus suri rumah mengimpikan kediaman bernilai RM580,000.
Lebih mengejutkan apabila wanita itu tetap dengan pendirian untuk memiliki rumah berkenaan meskipun sudah mengetahui kelayakan suaminya.
Mengulas mengenai isu tersebut, perunding dan penasihat kewangan, Dr Azizul Azli Ahmad berkata, seseorang itu tidak boleh membuat hutang melebihi 35 peratus daripada gajinya.
Pinjaman kewangan sering dibuat untuk pembelian rumah. -Gambar hiasan
"Jika gaji hanya RM3,500, kebolehan hutang adalah 35 peratus daripada gaji.
"RM1,225 sahaja sebaiknya komitmen hutang rumah iaitu sekitar harga RM245,000 hingga RM300,000.
"Jika nak beli landed harga RM580,000 bermakna ansuran bulanan sekitar RM2,800 sebulan.
"Jika gaji RM3,500 ditolak ansuran sebanyak RM2,800... maka baki bawa balik rumah hanyalah RM700," jelasnya mengenai perkiraan hutang rumah.
Menurut Azizul lagi, jika keinginan itu diteruskan juga, suami perlu melakukan dua atau tiga kerja sehari.
Bukan sahaja membebankan pasangan, malah golongan isteri juga tidak berpeluang mendapat perhatian daripada suaminya sendiri.
"Selepas balik rumah, sarung baju Grab hantar makanan pula sampai pukul 11.45 malam.
"Hari minggu ambil upah mesin rumput taman-taman pula... nak tambah duit poket," tambahnya.