suria

Aidilfitri lambat lagi, tapi lelaki sudah kumpul RM2,000 untuk agihan duit raya tahun depan... Caranya sangat realistik!

Kanak-kanak merupakan golongan paling gembira apabila menerima duit raya.

SETIAP kali umat Islam menyambut Hari Raya Aidilfitri, antara perkara yang dirunsingkan ialah isu pemberian duit raya.

Maklumlah apabila tibanya musim perayaan, banyak wang perlu dibelanjakan untuk pelbagai keperluan dan persiapan termasuk pakaian, makanan serta kos perjalanan pulang ke kampung.

Justeru seorang individu dikenali sebagai Ellsiidii di Thread berkongsi tip menyimpan wang untuk dijadikan duit raya sempena Aidilfitri tahun depan.

Katanya, dia mula menyimpan wang untuk pemberian duit raya sebulan selepas sambutan Aidilfitri pada April lalu.

"Saya lahir dalam keluarga yang besar, 10 adik-beradik dan anak buah pula ada 32 orang.

"Akan datang ni, tambah lagi seorang. Duit raya sebenarnya bukan isu besar bagi saya sebab selepas sebulan meraikan Aidilfitri, saya akan mula kumpul.

"Apabila buat pembayaran secara tunai, dapat sahaja baki duit baharu sama ada RM1, RM5 dan RM10 tu terus letak tepi," jelas lelaki ini.

Tambah bapa kepada seorang cahaya mata ini lagi, dia juga mudah mendapat wang tunai kerana melakukan kerja e-hailing.

Malah daripada sumber itulah dia membeli barang keperluan berbanding menggunakan kaedah pembayaran tanpa tunai.

"Sehingga September ini, total tabung raya untuk tahun hadapan adalah RM2,000," tambahnya yang konsisten melakukan tabungan.

Artikel Lain