SEBUT sahaja mengenai simpanan masa hadapan atau kaedah untuk 'beranakkan' duit, pasti ramai yang mencadangkan supaya wang dimasukkan ke beberapa agensi pelaburan atau saham.
Mungkin ia menjadi bagi segelintir individu, namun hakikatnya ramai yang mengalami rugi.
Bercerita mengenainya, pengguna media sosial yang gemar berkongsi tip simpanan dikenali sebagai Amirul Hafeez Johan berkata, terdapat dua kategori pelabur yang perlu dikenal pasti bagi mengelakkan kerugian berlaku.
Menurutnya, setiap individu perlu mengenali diri sendiri terlebih dahulu sebelum membeli sesuatu produk pelaburan yang ditawarkan.
1. Defensive investor
Pelabur jenis ini merupakan mereka yang sering mengamalkan corak 'permainan' selamat dan lebih pasif.
Mereka yang tidak gemar atau kekurangan masa untuk membaca laporan kewangan sesuai berada dalam kategori ini.
Kenal pasti tahap kemampuan diri sebelum menyertai apa sahaja pelaburan yang ditawarkan.
Lazimnya, golongan defensive ini lebih fokus pada aset stabil dan tidak mengejar pasaran atau hype.
Contohnya mereka lebih gemar melibatkan diri dengan simpanan emas mahupun unit amanah kos rendah.
2. Enterprising investor
Bagi kategori ini, kebanyakannya rajin melakukan analisis termasuk memantau pasaran saham semasa.
Malah ada yang aktif mengira untung rugi sesebuah syarikat termasuk membaca laporan tahunan serta melakukan analisis aliran tunai.
Mereka yang berpegang pada prinsip 'kerja lebih, untung lebih' boleh berada dalam kategori ini kerana usaha anda akan memberi pulangan menguntungkan.
Golongan ini juga berani mengambil risiko membeli saham undervalue.