suria

Nak beli rumah bukan sekadar cukup deposit, pembeli juga kena sedia tanggung 5 kos ini

Rumah adalah aset yang memerlukan komitmen jangka panjang. -Gambar hiasan

MEMBELI rumah khususnya yang pertama adalah keputusan kewangan paling besar dalam hidup seseorang. 

Ia bukan sekadar soal memiliki harta, tetapi juga berkait rapat dengan komitmen jangka panjang, kestabilan kewangan dan perancangan masa depan. 

Namun bagi kebanyakan bakal pembeli terutamanya golongan muda, proses membeli rumah boleh jadi amat mengelirukan terutamanya dengan istilah teknikal, prosedur undang-undang serta pelbagai kos tersembunyi yang mungkin tidak dijangka.

ARTIKEL BERKAITAN: Gaji suami RM3,500, isteri merengek nak rumah 'landed' 580K! Pakar buat kiraan, ramal apa berlaku jika keinginan dituruti

Tanpa pengetahuan asas dan persediaan yang betul, pembeli rumah pertama mudah terjebak dengan kesilapan seperti terlebih bajet, sebagaimana perkongsian seorang ejen hartanah, Azlan Nizam.

"Kawan kita jumpa rumah harga RM500,000. Dia terus kira dalam kepala, 'okay, deposit 10 peratus... RM50,000 je, settle!'

"Senyum lebar. Ingat dah cukup duit. Tapi bila jumpa ejen, lawyer, banker... baru dia terkejut. Duit dalam akaun langsung tak cukup. Kos sebenar nak beli rumah bukan RM50,000. Boleh cecah RM80,000 lebih!" tulisnya dalam hantaran di Facebook.

Menurut ejen tersebut, ramai pembeli pertama kali 'kecundang' disebabkan kesilapan ini, gara-gara hanya mengambil kira kos satu bahagian, iaitu deposit.

Menurutnya, ada beberapa lagi kos yang wajib ditanggung oleh pembeli iaitu: 

1. Yuran guaman - untuk pastikan semua urusan sah di sisi undang-undang.

2. Duti setem - cukai wajib masa pindah hak milik.

3. Kos penilaian – caj jurunilai sah rumah.

4. Insurans pinjaman bank (MRTA/MRTT/MLTA)

5. Kos Disbursement - Kos bayaran tambahan atau perbelanjaan yang perlu dibayar oleh pembeli rumah kepada pihak ketiga sebagai sebahagian daripada proses pembelian rumah.

Justeru menurutnya, jika dicampur antara deposit dengan kos-kos tambahan, kos sebenar boleh mencecah antara 12 peratus hingga 15 peratus daripada harga rumah.

Beliau turut memberi contoh pengiraan untuk memudahkan kefahaman: 

Harga rumah RM300,000

Deposit 10 peratus: RM30,000

Yuran guaman:  ±RM6,500

Kos penilaian: ±RM1,000

Duti setem MOT (Memorandum of Transfer): RM5,000

Duti setem pinjaman: RM1,350

Insurans MRTA: RM5,000

Jumlah: ±RM49,000

"Kesimpulannya, kalau bajet beli rumah, jangan tengok deposit semata. Siapkan duit lebih sebab kos lain boleh jadi separuh deposit lagi," ujarnya lagi. 

Artikel Lain