PENAMBAHBAIKAN Rang Undang-Undang (RUU) Sewa Beli (Pindaan) 2025 yang akan merombak cara pengiraan faedah bagi pinjaman kadar tetap kereta, menandakan satu reformasi besar dalam kredit pengguna, kata ahli ekonomi.
Mereka menyatakan perubahan ini sudah lama ditunggu, dan menganggapnya sebagai langkah penting ke arah keadilan pengguna serta literasi kewangan.
Akta tersebut, yang diluluskan oleh Dewan Rakyat pada 8 Oktober, menghapuskan kaedah faedah kadar rata dan Peraturan 78 yang sering dikritik.
Ia digantikan dengan sistem baki berkurang serta pengiraan kadar faedah efektif (EIR).
Di bawah Peraturan 78 yang lama, peminjam secara efektif membayar lebih faedah pada awal pinjaman, meninggalkan mereka sedikit manfaat walaupun menyelesaikan sewa beli lebih awal.
Namun, kaedah baki berkurang baharu hanya mengira faedah ke atas jumlah pinjaman yang masih berbaki, menjadikan pembayaran balik lebih adil dan telus.
Ahli Ekonomi Putra Business School, Prof Madya Dr Ida Yasin, berkata langkah ini akan menyelaraskan Malaysia dengan piawaian global dan memudahkan struktur pinjaman difahami oleh pengguna.
“Dulu, faedah dikenakan ke atas jumlah pinjaman penuh walaupun anda sudah membayar separuh daripadanya.
“Dengan sistem baki berkurang, faedah hanya dikira ke atas baki yang masih terhutang, yang lebih adil dan tepat menggambarkan hutang anda,” katanya.
Ida turut bersetuju reformasi ini merupakan langkah ke arah keadilan, dan menambah bahawa sistem baki berkurang “lebih baik daripada sebelum ini” kerana ia membetulkan ketidakseimbangan lama antara pemberi pinjaman dan pengguna.
Akta yang dibentangkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup kini berada di Dewan Negara.

Kereta menjadi keperluan utama untuk memudahkan pergerakan dalam kehidupan seharian. -Gambar hiasan
Setelah diluluskan oleh Senat, ia akan menunggu perkenan diraja daripada Yang di-Pertuan Agong sebelum digazetkan dan dikuatkuasakan pada tarikh yang akan diumumkan oleh kementerian.
Ia juga menyediakan tempoh peralihan 18 bulan bagi bank dan syarikat kewangan untuk melaksanakan sepenuhnya sistem pengiraan baharu.
Ida berkata jangka masa itu “realistik dan boleh dilaksanakan”, memandangkan keperluan peningkatan sistem, tetapi menambah bahawa ramai pengguna ingin melihat ia dilaksanakan lebih cepat kerana manfaatnya yang jelas.
“Kita ingin melihat ia dikuatkuasakan secepat mungkin, tetapi 18 bulan adalah tempoh praktikal bagi industri menyesuaikan diri,” tambahnya.
Akta ini disambut baik oleh pembeli kereta dan kumpulan pengguna, yang menyatakan ia memastikan layanan lebih adil bagi peminjam dan menggalakkan pemberian pinjaman yang bertanggungjawab.
Prof Emeritus Dr Barjoyai Bardai pula, berkata pindaan ini membetulkan ketidakseimbangan lama yang memihak kepada pemberi pinjaman di bawah Peraturan 78.
“Sebelum ini, peminjam membayar sebahagian besar faedah pada separuh pertama tempoh pinjaman, bermakna penyelesaian awal memberi sedikit penjimatan.
“Kaedah baki berkurang membetulkan perkara itu, kerana faedah kini hanya dikenakan ke atas baki pinjaman yang tinggal,” katanya, sambil menambah perubahan ini juga boleh meningkatkan permintaan kenderaan, kerana pemilikan kereta akan terasa lebih mampu milik.
“Peminjam akan lebih terdorong untuk memilih tempoh pinjaman lebih pendek dan membayar lebih awal.
“Bagi pembeli kereta terpakai, yang biasanya mengambil pinjaman lebih pendek, ini memberi perbezaan yang ketara,” tambahnya. -The Star


