SETIAP individu yang meninggal dunia pasti ada meninggalkan harta sama ada banyak atau sedikit.
Waima jika si mati berstatus bujang sekali pun, pasti meninggalkan harta, sebagai contoh caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) oleh pekerja atau majikan.
Ia juga dikategorikan sebagai harta yang boleh dituntut oleh waris walaupun si bujang tiada harta lain seperti kenderaan atau rumah.
ARTIKEL BERKAITAN: Nak beli rumah bukan sekadar cukup deposit, pembeli juga kena sedia tanggung 5 kos ini
Menurut pakar perancangan dan pengurusan harta, Hisyamuddin Halid, berdasarkan pengalamannya, kebanyakan klien keliru dalam mengenal pasti waris yang berhak menerima pusaka.
"Bab kenal pasti waris yang berhak pun dah huru-hara. Belum lagi cerita bab pecahan pembahagian faraid dan prosedur urus harta pusaka.
"Jangan pelik kenapa harta beku Islam setiap tahun meningkat, salah satu punca adalah waris itu sendiri.
"Waris tidak memainkan peranan yang baik dan kerjasama dalam menyelesaikan kemelut pembahagian harta pusaka," kongsinya.

Waris atau ahli keluarga perlu menyelesaikan hutang si mati sebelum memulakan prosedur pembahagian harta pusaka. -Gambar hiasan
Justeru, beliau tampil berkongsi tip bagi memudahkan urusan pembahagian harta pusaka si mati:
1. Kenal pasti maklumat si mati, dokumen penting adalah sijil kematian.
2. Kenal pasti harta si mati, contohnya rumah, tanah, kenderaan, simpanan di bank dan lain-lain.
3. Kenal pasti hutang si mati, contohnya pinjaman bank, pinjaman dengan individu, pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) dan lain-lain.
Jika si mati seorang Muslim, pastikan hutang wajibnya selesai menggunakan harta si mati, contohnya Fidyah dan Badal Haji.
4. Kenal pasti waris faraid yang terlibat.
5. Laksanakan tuntutan harta sepencarian (jika ada).
6. Laksanakan wasiat atau hibah (jika ada).
7. Kenal pasti permohonan bicara kuasa harta si mati (Amanah Raya, Pusaka Kecil atau Mahkamah Tinggi).
Tambahnya lagi, apa yang paling penting, kesemua waris yang terlibat mestilah saling berbincang, memberi kerjasama dan berpakat.
"Jadi, usahlah berbalah rebutkan pusaka. Sebab harta pusaka ni bukan anda yang cari.
"Apabila anda dapat harta daripada peninggalan si mati, manfaatkan dengan sebaiknya," ujarnya.


