suria

3 persediaan ini penting sebelum bersara... Kehidupan jadi lebih tenang, bermakna

Mempunyai perancangan kewangan sebelum persaraan dapat memastikan kehidupan lebih terjamin. -Gambar hiasan AI

PERSARAAN sering dianggap sebagai fasa kehidupan yang dinanti-nantikan. 

Selepas berpuluh-puluh tahun membanting tulang, inilah masa terbaik untuk melancong, menikmati hobi atau meluangkan lebih banyak masa bersama insan tersayang. 

Namun di sebalik impian itu, ada satu aspek penting yang tidak boleh diabaikan iaitu perancangan kewangan.

ARTIKEL BERKAITAN: Harta beku Islam kian meningkat, rupanya waris tak main peranan... Ini 7 ‘check list’ mudahkan urusan pembahagian harta pusaka si mati

Bagi membantu anda membuat persediaan yang bijak, pakar persaraan di syarikat pelaburan Scottish Widows (UK), Robert Cochran, berkongsi tiga soalan penting yang perlu difikirkan sebelum melangkah ke dunia persaraan. 

1. Apakah gaya hidup persaraan yang mampu dinikmati secara realistik? 

Di United Kingdom (UK) contohnya, persatuan pencen yang dikenali sebagai Pensions UK memperkenalkan tiga tahap gaya hidup persaraan iaitu minimum, sederhana dan selesa.

Ia merangkumi faktor seperti seberapa kerap anda menukar kereta, jenis percutian yang ingin dinikmati, utiliti tanggungan dan perbelanjaan liburan atau ganjaran.

Sebagai panduan, berdasarkan anggaran di UK untuk setahun:

Taraf hidup minimum: Kira-kira RM75,500 untuk individu, dan kira-kira RM121,800 untuk pasangan

Taraf hidup sederhana: Kira-kira RM178,700 untuk individu, dan kira-kira RM247,500 untuk pasangan

Gaya hidup selesa: Kira-kira RM247,500 untuk individu, dan kira-kira RM341,700 untuk pasangan

Info grafik yang menerangkan mengenai cukai wang pencen. -Foto LHDN

2. Kefahaman tentang implikasi cukai apabila bersara

Menurut Cochran, kesilapan biasa adalah tidak mengambil kira cukai sebelum mengeluarkan wang pencen.  

Ramai yang terlepas pandang bahawa pengeluaran wang persaraan boleh dikenakan cukai, namun ada yang yang terkecuali.

Dalam konteks di Malaysia, ada tujuh kategori wang pencen yang dikecualikan cukai. Justeru, fahami terlebih dahulu struktur cukai dan rancang pengeluaran supaya anda tidak menanggung cukai yang tinggi tanpa disedari.

3. Keperluan pilih anuiti dan jenis yang sesuai

Anuiti merupakan salah satu pelan persaraan yang semakin mendapat perhatian di Malaysia sebagai cara untuk memastikan pendapatan tetap selepas berhenti kerja. 

Ia adalah produk kewangan yang membolehkan individu menukar simpanan persaraan atau wang pelaburan menjadi pembayaran berkala, sama ada bulanan atau tahunan, sepanjang hayat atau tempoh tertentu. 

Dengan anuiti, pencarum dapat mengurangkan risiko kehabisan wang di usia tua dan menikmati kestabilan kewangan selepas bersara. 

Di Malaysia, anuiti biasanya ditawarkan oleh syarikat insurans dan boleh dibeli menggunakan wang simpanan daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) atau simpanan persendirian.

Langkah terbaik, bincanglah bersama pasangan dan dapatkan nasihat kewangan profesional agar pelan yang dipilih sesuai dengan keperluan, keadaan kesihatan dan matlamat kewangan persaraan masing-masing.

 

Artikel Lain