TAWARAN cash back atau pulangan tunai ketika membeli rumah sering dianggap seperti peluang keemasan di mana pembeli mendapat sejumlah wang segera selepas menandatangani perjanjian jual beli.
Ada yang menggunakan wang itu untuk menampung kos ubah suai, membeli perabot, malah tak kurang juga yang menyimpannya sebagai 'simpanan kecemasan'.
Namun di sebalik tawaran menarik itu, pakar hartanah mengingatkan bahawa cashback bukanlah hadiah percuma seperti yang disangka, sebaliknya boleh menjerat pembeli kepada hutang lebih panjang dan mahal tanpa disedari.
ARTIKEL BERKAITAN: Nak beli rumah bukan sekadar cukup deposit, pembeli juga kena sedia tanggung 5 kos ini
Pensyarah dan pakar dalam bidang hartanah, Dr Azizul Azli Ahmad, menegaskan bahawa pembeli sepatutnya berhati-hati dengan tawaran sebegitu kerana ia selalunya datang dengan harga rumah yang melebihi nilai pasaran sebenar (over market value).
"Jangan amalkan duit cashback belian rumah untuk buat renovasi. Jika ditawarkan cashback oleh pemaju, sebaiknya tolak atau kontra daripada harga rumah agar hutang kita jadi kecil," katanya.
Menurut beliau, konsep cashback pada asasnya ialah strategi pemasaran pemaju untuk melariskan jualan.
Rumah adalah aset yang memerlukan komitmen jangka panjang. -Gambar hiasan
Ia seolah-olah memberikan 'duit percuma', tetapi hakikatnya pembeli menanggung jumlah pinjaman yang lebih tinggi selama puluhan tahun.
"Ada sahabat saya dapat cash back RM500,000 dan habiskan untuk buat renovasi. Tapi mereka lupa, cashback itu sebenarnya hutang yang perlu dibayar semula dalam tempoh 30 tahun," jelasnya.
Dr Azizul turut menerangkan, jika seseorang pembeli menerima cash back RM50,000 hingga RM100,000, jumlah itu perlu dikira semula dengan kadar faedah pinjaman, contohnya 4 peratus bagi tempoh 30 hingga 35 tahun.
"Kita rasa berbaloi buat kabinet dapur dengan harga RM50,000, tapi apabila dikira balik dengan faedah bank, nilainya boleh mencecah RM120,000 selepas 30 tahun. Adakah itu keputusan kewangan yang bijak?" katanya.
Beliau menegaskan bahawa pembeli rumah kali pertama terutamanya perlu lebih berdisiplin dan memahami implikasi jangka panjang sebelum tergoda dengan tawaran tunai segera.
"Cashback ini ibarat ‘gula-gula’ pemaju yang berpakat dengan bank. Ia nampak manis pada awalnya, tetapi kita yang akan menanggung 'kencing manis' kewangan di kemudian hari," tambahnya.


