SEORANG kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun terselamat selepas terjatuh dari tingkat 25 pangsapuri yang dihuni bersama ibu bapanya.
Dalam kejadian pada 27 Mac lalu di Tangshan, wilayah Hebei, utara China, mangsa berada bersendirian di dalam biliknya dan mengambil keputusan untuk membuka tingkap kerana berasa panas.
Namun, struktur tingkap tersebut dipercayai longgar, menyebabkan dia terjatuh tanpa sempat berpaut untuk menyelamatkan diri.
Kanak-kanak malang itu bagaimanapun terjatuh di atas pelantar di tingkat tujuh.
Ibu mangsa yang dikenali sebagai Shen memaklumkan bahawa dia berada di tempat kerja ketika insiden berlaku, dan menerima panggilan daripada suaminya yang memaklumkan anak mereka 'hilang' dari rumah.
Kejadian hanya disedari selepas ibu bapa mangsa menerima panggilan daripada pengurus bangunan yang memaklumkan bahawa anak mereka ditemui terbaring di pelantar berkenaan.
Mangsa pada mulanya dibawa ke hospital tempatan di Tangshan, namun dipindahkan ke Hospital Kanak-Kanak Beijing yang terletak kira-kira 200 kilometer dari lokasi kejadian, kerana mengalami kecederaan serius.
Pihak hospital mengesahkan mangsa mengalami kecederaan serius termasuk patah di bahagian lengan, kecederaan pada dahi dan tulang belakang toraks.
Mangsa bagaimanapun bernasib baik kerana tiada kerosakan dikesan pada bahagian otaknya.
Mangsa telah menjalani beberapa pembedahan dan dibenarkan keluar dari hospital selepas dirawat selama 10 hari.
Dia dijadualkan menjalani pemeriksaan susulan pada akhir April ini. -Agensi