WANITA luar biasa!
Itulah ayat paling sesuai menggambarkan seorang wanita dari Hunan, China ini yang sanggup mengambil tanggungjawab melangsaikan hutang mendiang kekasihnya yang meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya.
Wang Ting, 34, menjalin hubungan cinta dengan ahli perniagaan bernama Zeng Zhi selama bertahun-tahun sebelum 'kehilangan' lelaki itu pada 2016.
Selepas kematian Zeng Zhi, Wang Ting mendapat tahu mendiang masih mempunyai hutang gaji kepada pekerja, bayaran pembelian serta pinjaman daripada rakan-rakannya.
Dia bertekad untuk menyelesaikannya kesemua hutang bernilai 600,000 yuan (sekitar RM362,766) yang ditinggalkan kerana keluarga mendiang tidak mampu menanggung beban tersebut.
Dalam usaha untuk melunaskan hutang, Wang Ting menggunakan kesemua wang simpanannya sebanyak 200,000 yuan (sekitar RM120,920) dan berpindah ke wilayah lain untuk mencari sumber kewangan tambahan.
Selain itu, dia meminjam 60,000 yuan (sekitar RM36,276) daripada rakannya untuk membayar hutang-hutang tersebut.
Tidak hanya itu, Wang Ting juga mengambil tanggungjawab menjaga ibu bapa serta bapa saudara mendiang kekasihnya itu.
Pada tahun 2020, Wang Ting berkahwin dengan lelaki lain, namun dia tidak melupakan tanggungjawabnya terhadap keluarga Zeng Zhi.
Dia yang turut mengundang ibu bapa Zeng Zhi, menyampaikan ucapan penuh menyentuh hati semasa majlis perkahwinannya.
"Kamu akan sentiasa menjadi ibu bapa saya dan orang paling penting dalam hidup saya. Saya akan mempunyai enam ibu bapa mulai sekarang," ujarnya.
Tindakan luar biasa Wang Ting telah mendapat pujian ramai di dunia maya yang kagum dengan ketulusan hati wanita berkenaan.
"Dia seorang yang sangat setia. Mendiang teman lelaki dan keluarganya pasti melayan dia dengan baik sebelum ini," komen netizen.
Wang Ting kini menguruskan dua perniagaan iaitu sebuah firma makanan dan sebuah syarikat pelancongan.
Netizen menganggap kejayaan wanita tersebut adalah sebagai ganjaran di atas segala kebaikan dan pengorbanannya. -Agensi