suria

Doktor didakwa sebabkan kematian wanita hamil, gagal beri rawatan segera kerana keluarga tak mampu bayar deposit

Kelewatan memberi rawatan kepada wanita hamil yang mengalami komplikasi boleh meningkatkan risiko seperti kematian atau pelbagai masalah kesihatan yang serius. -Gambar hiasan

SEORANG pakar sakit puan berdepan dengan dakwaan kecuaian perubatan sehingga menyebabkan kematian tragis seorang pesakit wanita hamil.

Dr Sushrut Ghaisas, dari Hospital Deenanath Mangeshkar di Pune, India didakwa selepas siasatan mendapati beliau dan pasukannya gagal memberikan rawatan segera kepada Tanisha Bhise, yang berada dalam keadaan kritikal.

Menurut laporan, pihak hospital didakwa meminta deposit sebanyak Rs 10 lakh (RM51,658) sebelum membenarkan kemasukan Bhise ke dalam wad.

Bagaimanapun, disebabkan keluarganya tidak mampu membayar jumlah itu serta-merta, rawatan kecemasan dilaporkan tertangguh selama lima jam.

Ketika keadaan Bhise semakin merosot, dia dipindahkan ke hospital lain di mana dia melahirkan bayi kembar perempuan. 

Bhise bagaimanapun meninggal dunia selepas bersalin akibat mengalami pendarahan yang berlebihan.

Laporan siasatan menunjukkan bahawa Dr Ghaisas mempunyai akses kepada sejarah perubatan lengkap mangsa tetapi gagal memulakan rawatan segera yang diperlukan.

Kematian Bhise mencetuskan kemarahan orang ramai dengan pemimpin perundangan tempatan turut campur tangan dan menuntut tindakan tegas terhadap doktor terlibat, termasuk pembatalan lesen perubatannya. -Agensi

Artikel Lain