SEORANG pemuda berusia 23 tahun merancang untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak polis selepas ditahan secara salah selama lima hari atas tuduhan jenayah yang tidak dilakukannya.
Phuris Saitong, dari Nakhon Si Thammarat, Thailand ditahan pada 11 April lalu berhubung insiden tembakan yang berlaku pada 8 April di mukim Pho Sadet, yang menyebabkan dua remaja cedera.
Phuris mendakwa pihak polis telah mengabaikan alibinya, tidak menyemak pakaian atau motosikal sebenar suspek, dan gagal membandingkan deskripsi fizikal yang diberikan saksi kejadian.
"Saya telah mengalami banyak penderitaan dan melalui begitu banyak kesakitan dan tekanan.
"Saya didakwa dengan jenayah yang saya tidak lakukan, dan saya mahukan keadilan untuk apa yang saya lalui," katanya kepada media.
Desakan orang awam yang mempertikaikan siasatan kes tersebut akhirnya membawa kepada semakan semula oleh pihak berkuasa.
Polis mengambil langkah untuk meneliti semula rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang membawa kepada pengesahan bahawa Phuris bukan suspek sebenar.
Ketua Polis Daerah Mueang, Kolonel Polis Kittichai Krainara, kemudiannya mengarahkan pembebasan Phuris secara rasmi pada 16 April.
Ekoran insiden tersebut, Phuris menyatakan hasrat untuk menyaman pegawai yang terlibat dalam penahanannya yang disifatkan sebagai tidak berasas dan cuai. -Agensi