suria

Batang besi hampir tembusi otak, lelaki diselamatkan selepas jalani pembedahan selama 10 jam

Batang besi sepanjang 40cm akhirnya berjaya dikeluarkan selepas pembedahan selama 10 jam. -Foto QQ.com/SCMP

SEORANG lelaki tertusuk batang besi sehingga menembusi wajahnya selepas dia terjatuh di atas meja makan, ketika sedang minum bersama rakan-rakannya.  

Lelaki yang dikenali sebagai Aqiang dilaporkan mabuk sebelum dia terjatuh dan wajahnya mengenai batang besi berkenaan.

Rakan-rakannya yang panik segera menghubungi ambulans dan dia dikejarkan ke Hospital Besar Universiti Shenzhen.

Doktor turut meluahkan rasa terkejut apabila melihat keadaan Aqiang dan menyifatkan keadaannya agak jarang berlaku.

"Objek asing ini membawa banyak bakteria. Laluan yang menembusi pesakit melibatkan mulut, mata dan otaknya.

"Sebarang kesilapan kecil dan cuai mungkin membawa maut," kata doktor kepada media tempatan.

Laporan X-ray menunjukkan hujung batang besi sepanjang 40 sentimeter (cm) itu hanya berjarak 2 milimeter (mm) dari saluran darah utama otaknya.

Prosedur untuk menyelamatkan Aqiang bermula dengan anggota bomba bertindak memotong bahagian luar batang besi terlebih dahulu sebelum pembedahan dimulakan.

Cabaran yang menggerunkan adalah mengeluarkan bahagian atas batang besi yang bengkok tanpa merosakkan otak, mata atau mulut Aqiang.

Pembedahan mengeluarkan batang besi itu akhirnya berjaya dilakukan dalam masa 10 jam.

Selepas pembedahan, Aqiang perlu dipantau di unit rawatan rapi selama beberapa hari kerana bimbang berlakunya jangkitan.

Dia akhirnya dibenarkan keluar dari hospital selepas sebulan menerima rawatan. -Agensi

Artikel Lain