PENDUDUK digemparkan dengan penemuan mayat seorang wanita tanpa kepala.
Mangsa yang berusia 19 tahun itu, dipercayai dibunuh oleh teman lelakinya sendiri.
Susulan itu, suspek berusia 23 tahun ditahan bagi membantu siasatan.
Kejadian berlaku di sebuah kebun getah di Cinangka, Kabupaten Serang, Banten di Indonesia.
Ketua Polis Serkor, Yudha Satria berkata, suspek didakwa membunuh teman wanitanya, kerana berang didesak untuk segera berkahwin disebabkan mangsa sudah hamil luar nikah.
"Akibat terus didesak, suspek berasa tertekan dan bertindak membawa mangsa ke kawasan kebun getah sebelum membunuhnya," katanya dalam kenyataan, yang disampaikan oleh Ketua Unit Siasatan Jenayah Serkot, Salahuddin.
Beliau berkata, mangsa dibunuh dengan cara mencekiknya menggunakan tudung, menjatuhkannya ke tebing dan terus mencekik sehingga tidak lagi bernyawa.
"Selepas mangsa meninggal dunia, suspek pulang ke rumah bagi mendapatkan parang dan kembali ke lokasi kejadian bagi mengerat badan mangsa kepada beberapa bahagian," katanya.
Selain menahan suspek, polis turut merampas beberapa bahan bukti seperti parang, baju dan seluar, sebuah motosikal serta pakaian dalam milik mangsa.
Kes tersebut masih dalam siasatan polis. -Agensi