SELEPAS membuat simpanan selama 10 tahun untuk membeli kereta impiannya, Ferrari 458 Spider baharu, seorang lelaki terduduk menyaksikan kenderaannya itu terbakar.
Lebih menyedihkan, kejadian berlaku dalam tempoh sejam ketika dia memandu kenderaan itu buat pertama kali.
Lelaki berusia 33 tahun itu berkongsi kisahnya di laman sosial X, menceritakan bagaimana dia hanya sempat menikmati kereta itu selama beberapa minit sahaja sebelum ia tiba-tiba terbakar semasa memandunya di sebuah lebuh raya.
Insiden tersebut berlaku di Shuto di Tokyo, pada Rabu lalu.
Difahamkan, kereta Ferrari itu baru sahaja dihantar kepada lelaki itu yang dikenali sebagai Honkon. Ketika itu, dia sedang membuat pandu uji apabila dia ternampak asap putih.
Pada mulanya, dia menyangka asap itu datang daripada kereta di sebelahnya, tetapi apabila kereta itu bergerak jauh, jelas bahawa asap itu sebenarnya keluar dari Ferrari miliknya.
"Saya rasa sayalah satu-satunya orang di Jepun yang mengalami nasib malang seperti ini,” tulis Honkon di X.
Dia turut memuat naik sekeping gambar keretanya yang sedang terbakar: "Saya habiskan 43 juta yen (RM1.45 juta) dan apa yang saya dapat hanyalah gambar ini."
Jabatan Polis Metropolitan Tokyo memberitahu, tiada sebarang tanda perlanggaran pada Ferrari milik Honkon, namun siasatan masih dijalankan.
Kebakaran itu dipercayai bermula dari bahagian enjin kereta tersebut, tetapi puncanya masih belum diketahui. -Agensi