PIHAK berkuasa Jepun mengesan lebih 800 kes penipuan ujian TOEIC (Test of English for International Communication) dari Mei 2023 hingga Jun 2025.
Kegiatan itu dipercayai didalangi kumpulan warga China.
Difahamkan, modus operandi mereka termasuk menyamar sebagai calon lain dengan menggunakan tiket masuk sementara dan menyampaikan jawapan melalui peranti seperti mikrofon yang disembunyikan dalam pelitup muka.
Kes terbongkar apabila seorang pelajar Universiti Kyoto, Wang LiKun, ditahan ketika cuba menipu.
Dia kemudiannya mengaku menerima bayaran untuk menyamar dan membantu peserta lain kerana pernah mendapat markah 945/990 menggunakan identiti palsu.
Wang kini didakwa atas kesalahan memalsukan dokumen ujian.
Pihak berkuasa mula mencurigainya selepas mendapati peningkatan luar biasa skor tinggi dalam kalangan warga China.
Untuk rekod, skor TOEIC yang baik penting untuk kelayakan akademik dan pekerjaan di Jepun. -Agensi