suria

[V] Percaya rezeki Allah, bapa usia 52 tahun merasa hantar anak sulung masuk tadika - “Tiada yang lambat, hanya waktu berbeza”

Gambar kenangan pasangan ini menghantar anak sulung mereka ke sekolah.

GELAGAT sepasang suami isteri ini yang menghantar anak kecil ke tadika mencuri perhatian warga maya.

Mana tidaknya, usia mereka masing-masing 52 tahun dan 42 tahun, namun anak sulung baru mendaftar masuk ke peringkat awal persekolahan.

Video tersebut dimuat naik oleh pengguna akaun @mamikiaypuansunan dengan kapsyen "Papi 52 tahun, mami 42 tahun menghantar anak sulung ke sekolah tadika buat kali pertama".

Berkongsi cerita mengenainya, wanita yang dikenali sebagai Kartika [Tonton Video] berkata, video tersebut dirakam semasa dia dan suami, Handri menghantar anak pertama mereka itu ke tadika.

"Video itu dimuat naik beberapa bulan lalu, tetapi gambar diambil semasa Ihsan pertama kali masuk tadika pada awal Julai 2024.

"Bagi segelintir individu, pendaftaran sekolah anak adalah perkara biasa, tapi ia luar biasa bagi kami.

"Kami sudah menanti 13 tahun dan pernah kehilangan anak pertama, Iqbal. Jadi momen ini sangat luar biasa," katanya yang berasal dari Bandar Lampung, Indonesia..

Menurut Kartika, dia diselubungi rasa gembira dan terharu semasa menghantar anaknya itu.

Membandingkan diri dengan rakan seusianya, ujar wanita ini, kebanyakan anak rakannya mula mendaftar masuk ke pusat pengajian tinggi dan ada yang sudah berkahwin.

"Sedangkan kami, anak pertama baru masuk tadika, tapi kami tak rasa 'lambat' kerana yakin dengan Allah.

"Tiada yang lambat, hanya waktu yang berbeza dan ia lebih daripada cukup," tambah Kartika.

Artikel Lain