suria

Konon nak merokok luar premis, dua pelanggan ‘ghaib’ lepas pesan makanan lebih RM300

Rakaman kamera pengawasan kedua-dua pelanggan terbabit.

SEBUAH restoran keluarga di Manchester mengalami kerugian selepas dua lelaki melarikan diri tanpa membayar bil makan malam bernilai RM385 (£62.99).

Menurut pengusaha restoran Sweet Mandarin, Helen Tse, pelanggan terbabit pada awalnya memesan makan malam untuk dua orang dengan sebotol wain.

Namun keduanya memberi alasan mahu merokok sebelum terus menghilang diri dari kawasan premis.

Lebih menyayat hati apabila insiden tersebut berlaku pada hari yang sama ibu Helen menjalani pembedahan jantung terbuka dan sedang menerima rawatan di unit rawatan rapi (ICU).

"Ini soal prinsip. Kamu tak patut rompak perniagaan keluarga saya ketika ibu saya bertarung nyawa," katanya tegas.

Helen turut berkongsi rakaman kamera pengawasan dan mendakwa suspek meninggalkan pengecas telefon serta cermin mata dengan cap jari. 

Justeru itu, dia menyatakan bukti berkenaan akan diserahkan kepada polis jika kedua-dua pelanggan terbabit gagal membayar.

Dalam kenyataan tegas di media sosial itu, Helen memberi tempoh sehingga 8.30 malam hari yang sama untuk pelaku membuat bayaran atau bersedia untuk diviralkan dan dimalukan seluruh Manchester.

Untuk rekod, restoran ini telah diusahakan keluarga mereka sejak 2004.

Sejarah kulinari bermula sejak nenek mereka, Lily Kwok, membuka restoran Cina pertama di Manchester pada 1950-an. -Agensi

Artikel Lain