PIHAK berkuasa imigresen Thailand telah menahan seorang lelaki Malaysia berusia 26 tahun yang dituduh menjalankan skim pengubahan wang haram besar-besaran, pada Rabu.
Suspek dikaitkan dengan platform perjudian dalam talian haram HYDRA888, dengan transaksi melebihi 11.5 bilion baht atau kira-kira RM1.49 bilion.
Tangkapan itu berlaku di Lapangan Terbang Antarabangsa Don Mueang, di mana suspek telah dipintas sebaik tiba ke destinasi.
Dia ditahan di bawah waran tangkap yang dikeluarkan oleh Mahkamah Wilayah Nonthaburi pada 16 Disember 2024.
Berdasarkan laporan media tempatan, suspek turut menghadapi pertuduhan menjalankan operasi perjudian dalam talian tanpa lesen, konspirasi untuk melakukan pengubahan wang haram dan terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram.
Siasatan mendedahkan bahawa suspek memiliki syarikat berkaitan sukan yang berfungsi sebagai saluran untuk pergerakan dana haram yang dijana oleh laman web perjudian HYDRA888.
Firma itu didakwa digunakan untuk mengaburkan sumber dan punca perolehannya sepanjang tahun lalu.
Suspek telah diserahkan kepada Biro Siasatan Jenayah Siber (CCIB) untuk prosiding undang-undang lanjut.
Pihak berkuasa terus menyiasat rangkaian kewangan yang lebih luas yang dikaitkan dengan platform berkenaan. -Agensi