suria

Suami berjalan tanpa kasut rentas 2 wilayah demi jumpa isteri nazak... Rebah sebab kaki melecet, berdarah

Lelaki ini menerima rawatan selepas rebah ketika dalam perjalanan bertemu isterinya.

SEORANG lelaki sanggup berjalan kaki bagi bertemu isterinya yang tinggal pada jarak kira-kira 165 kilometer dari dirinya .

Dia nekad berjalan kaki selepas menerima panggilan pada Selasa malam yang memaklumkan isterinya sedang nazak.

Panggilan itu dibuat oleh anaknya yang menetap di Surat Thani, Thailand.

Lelaki itu yang berada di Wilayah Nakhon Si Thammarat, segera meminta bantuan keluarga untuk pulang.

Bagaimanapun mereka hanya mampu menghantarnya sehingga ke pintu masuk Daerah Thung Yai, yang terletak di antara dua wilayah itu. 

Memetik laporan media tempatan, dia cuba mendapatkan bantuan daripada kenderaan yang lalu di lokasi berkenaan, namun tiada yang sudi berhenti.

Susulan itu, dia meneruskan perjalanan dalam keadaan cuaca panas terik dengan berjalan kaki tanpa memakai kasut.

Difahamkan, lelaki ini telah berjalan sejauh 20 kilometer sehingga kakinya melecet dan berdarah sebelum ditemukan rebah di tepi jalan. 

Situasi dialami mendapat perhatian ramai yang kemudiannya menghubungi pasukan penyelamat bagi membantu merawatnya. 

Bersimpati dengan nasibnya, orang ramai tampil menghulur sumbangan wang, manakala seorang pemilik stesen minyak menawarkan minyak percuma agar kenderaan penyelamat dapat menghantarnya terus ke rumah di Surat Thani.

Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan sama ada dia sempat menemui isterinya buat kali terakhir atau sebaliknya. -Agensi

Artikel Lain