suria

Unik! Rumah mesra alam di Kyrgyzstan guna beras, ideal diduduki manusia

Sekam padi mengandungi silika semulajadi yang berfungsi seperti simen setelah kering. -Foto Agence France-Presse (AFP)

JIKA dilihat secara luaran, binaan rumah ini kelihatan normal seperti kebanyakan bangunan lain.

Namun, rumah di Kyzyl-Kiya, selatan Kyrgyzstan ini ternyata memiliki ciri keunikan yang tersendiri apabila menggunakan beras sebagai bahan utama bagi menggantikan simen.

Berkonsepkan 'mesra alam, beras dilihat sebagai alternatif bagi menggantikan konkrit berasaskan air, ekoran silika semulajadi yang terdapat di dalamnya berfungsi dengan baik seperti simen setelah kering.

Tambahan pula, tiada sebarang risiko bahaya yang dikenal pasti seterusnya menjadikan rumah yang dibina berasaskan beras ini, ideal untuk diduduki.

"Dari segi penebat, kos bahan serta upah pekerja ternyata lebih efektif. Sebanyak 60 peratus dibina daripada sekam padi.

"Bahan lain termasuklah tanah liat, simen dan gam bebas kimia.

"Dahulu, masyarakat tidak tahu mengenainya. Kini setelah mereka melihat, mereka jadi berminat," kata Akmatbek Uraimov, salah seorang pelanggan.

ARTIKEL BERKAITAN: Seni Bina Rumah Melayu Unik, Asli Di Tengah Kota

Beroperasi di Batken, Nursultan Taabaldyev antara individu terawal di Asia Tengah yang mengetengahkan teknologi tersebut.

Idea inovasi itu dikatakan mula tercetus sewaktu bertukang bersama bapanya sejak usia kanak-kanak lagi.

Malah, buruh berusia 27 tahun itu menempah rekod kira-kira 300 buah rumah dalam tempoh lima tahun, menggunakan habuk papan yang kemudiannya beralih kepada beras sebagai bahan utama.

"Sisa beras dilupuskan di ladang dan dibakar, sekali gus hanya mencemarkan alam sekitar. Maka, kami memutuskan untuk mengitarnya semula.

"Lambakan sisa beras meningkatkan risiko kebakaran sekiranya sistem pengudaraan kurang baik," ujar Taabaldyev.

Selain roti dan minyak, kos mendapatkan simen di negara berkenaan dikatakan lebih mahal berbanding kawasan lain di Asia Tengah dan peningkatan kos mungkin berlaku sekiranya bahan itu diklasifikasikan sebagai barangan terkawal. -Agensi

Artikel Lain