suria

Isteri kena rompak, suami buta sangka sedang alami mimpi buruk... Suspek rupanya menantu sendiri

Suspek ditembak kerana memukul polis untuk melarikan diri. -Foto Polis Medan

SEORANG warga emas tidak sedarkan diri selepas diserang perompak yang menceroboh kediamannya pada Jumaat lalu.

Dalam kejadian pukul 4.45 pagi itu, mangsa, Suryati, 66, dipukul di bahagian kepala beberapa kali.

Kejadian berlaku di Jalan Halat, Bandar Medan di Indonesia.

Ketua Unit Siasatan Jenayah Polis Kawasan Medan, Dian Simangunsong, berkata mangsa diserang suspek ketika dia bangun untuk menunaikan solat subuh,

"Kepala mangsa dipukul dan ditolak ke lantai beberapa kali sehingga dia pengsan.

"Suami mangsa ada mendengar kekecohan. Namun, kerana buta dia menyangka mangsa sedang mengalami mimpi buruk," katanya.

Mangsa sedar pada pukul 6 pagi dan mendapati rantai emasnya seberat enam gram telah hilang.

Dia  kemudian membuat laporan di Balai Polis Medan.

Dian berkata berdasarkan siasatan awal dan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), pihaknya mendapati suspek utama adalah menantu mangsa sendiri, Indra Supomo, 52.

Polis kemudian bertindak pantas menahan Indra di Jalan Sempurna sekitar pukul 2 pagi.

"Hasil soal siasat dia mengaku bertindak sendirian dengan menutup mukanya menggunakan kain untuk mengelak daripada dikenali oleh mangsa.

"Emas mangsa dijual dengan harga lima juta rupiah (RM1,500). Wang itu digunakan untuk membayar hutang rakan, hutang judi, dan perkara lain," kata Dian.

Indra juga cuba melarikan diri dengan memukul polis, akibatnya kedua-dua kakinya telah ditembak.

Dia kini ditahan di Balai Polis Kawasan Medan untuk tindakan undang-undang selanjutnya.-Agensi

Artikel Lain