suria

Banduan kantoi telan telefon cetuskan kebimbangan rakyat, dedah sistem keselamatan lompong

Cubaan seorang banduan menyorok peranti telefon bimbit tidak berhasil. -Foto India Today

SEORANG banduan didapati menelan telefon bimbit miliknya bagi mengelakkan peranti itu dirampas ketika pemeriksaan mengejut diadakan.

Tindakannya itu disedari oleh pihak Pusat Penjara Shivamogga, Karnataka, India pada 24 Jun, selepas dia mengadu sakit perut yang teruk.

 

Memetik laporan media tempatan, dia yang dikenali sebagai Daulat, 30, dikejarkan ke Hospital Kerajaan McGann bagi mendapatkan rawatan.

Hasil imbasan X-ray memaparkan sebuah peranti telefon bimbit berukuran satu inci lebar serta tiga inci panjang ditemui tersekat di kawasan perutnya.

Susulan itu, satu operasi pembedahan terpaksa dijalankan keatas mangsa dan diserahkan kepada pihak berkuasa pada 8 Julai lalu.

Siasatan awal mendakwa lelaki itu dengan sengaja menelan peranti itu dalam cubaan mengelak kegiatannya dihidu oleh pegawai bertugas.

Daulat menjalani hukuman penjara selama 10 tahun atas kes jenayah.

Insiden yang berlaku itu kemudiannya mencetuskan perdebatan tentang kemungkinan terdapat unsur pakatan sulit antara staf di peringkat dalaman dan penjenayah.

Ada juga yang mempertikaikan kelompongan sistem kawalan sedia ada. -Agensi

Artikel Lain