SEORANG wanita warga emas maut selepas dilanggar oleh anak kandungnya sendiri ketika sedang menunggu untuk memberi sedekah kepada sami di tepi jalan.
Dalam kejadian menyayat hati yang berlaku pada pagi Jumaat lalu itu, insiden berpunca daripada tindakan anak lelaki mangsa, Nawi Songwannam, 47, yang cuba membuat pusingan U di lokasi berkenaan.
Rempuhan berkenaan membuatkan mangsa, Pathum Songwannam, 75, mengalami cedera parah dan meninggal dunia.
Kesal dengan situasi yang berlaku, Nawi dilihat duduk bersebelahan mayat ibunya sambil menangis dan menyalahkan diri sendiri.
Menurut adik perempuan mangsa, Phon, 65, keluarga mereka datang dari Samut Prakan bagi menghabiskan cuti panjang sambil melakukan kebajikan di Udon Thani.
Pada pagi kejadian, mereka ingin memberi sedekah dan menawarkan lilin sempena satu upacara keagamaan Buddha.
Namun situasi yang sesak di wat membuatkan mereka meninggalkan Pathum di tepi jalan untuk memberi sedekah kepada sami yang sedang berjalan.
Warga emas itu dipercayai sempat memberi sedekah kepada enam orang sami sebelum dia dilanggar Nawi yang ketika itu memandu untuk berpatah balik mengambilnya.
Polis telah merakam keterangan Nawi untuk siasatan lanjut atas tuduhan memandu secara cuai hingga menyebabkan kematian.
Sementara itu mayat mangsa dihantar ke Hospital Udon Thani untuk bedah siasat. -Agensi