SEORANG pelajar kolej berusia 22 tahun meninggal dunia selepas tiga hari bertarung nyawa gara-gara melecur teruk, dipercayai akibat membakar diri sendiri.
Difahamkan tindakan itu sebagai protes kerana aduannya mengenai gangguan seksual tidak diendahkan pihak kolej.
Menurut Institut Sains Perubatan India (AIIMS) Bhubaneswar, dekat Odisha, India, pelajar wanita berkenaan disahkan meninggal dunia pada pukul 11.46 malam, Isnin.
"Walaupun diberikan rawatan resusitasi dan sokongan perubatan sepenuhnya, termasuk terapi penggantian buah pinggang di Unit Rawatan Rapi Pesakit Melecur, mangsa gagal diselamatkan," menurut kenyataan AIIMS.
Mangsa merupakan penuntut jurusan Pendidikan di Kolej Autonomi Fakir Mohan di Balasore.
Difahamkan mangsa membuat aduan pada 1 Julai lalu, mendakwa ketua jabatannya yang berpangkat profesor, melakukan gangguan seksual terhadapnya dan turut mengugutnya selama berbulan-bulan.
Namun, tiada tindakan diambil pihak kolej terhadap aduan itu.
Pada 12 Julai, mangsa bersama beberapa pelajar lain mengadakan protes di luar pagar kolej.
Menurut rakan-rakannya, ketika protes berlangsung, mangsa tiba-tiba berlari ke kawasan berhampiran pejabat pengetua dan membakar dirinya.
Dia kemudian dikejarkan ke AIIMS dengan lebih 90 peratus kecederaan melecur.
Ketua Menteri Odisha, Mohan Charan Majhi, menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan memberi jaminan untuk menyiasat perkara berkenaan dengan telus.
"Semua pihak yang bersalah akan berdepan dengan hukuman paling berat," katanya.
Dalam pada itu polis mengesahkan menahan suspek dan pengetua bagi membantu siasatan. -Agensi