SERAMAI 12 wanita ditahan bagi membantu siasatan selepas disyaki menjadi dalang sindiket pemerdagangan bayi ke negara jiran.
Kegiatan haram terbabit mula terbongkar susulan pasangan suami isteri tampil memfailkan aduan bahawa anak mereka telah diculik.
Ketua Perhubungan Awam Polis Wilayah Jawa Barat, Pesuruhjaya Kanan Hendra Rochmawan berkata, kegiatan itu berlaku sejak 2023 dengan setiap suspek melakukan peranan yang berbeza.
"Ada yang ditugaskan merekrut bayi sejak dalam kandungan, menyara bayi sehinggalah menguruskan pemalsuan dokumen seperti sijil kelahiran dan pasport.
"Mereka turut terlibat secara langsung dengan proses penyeludupan bayi ke Singapura," dedahnya.
ARTIKEL BERKAITAN: 21 Lagi Bayi Diselamatkan Daripada Sindiket Pemerdagangan Manusia
Lebih mengejutkan, ada pihak yang rela hati menjual darah dagingnya sendiri kepada sindiket berkenaan.
Perkara itu turut didedahkan Pengarah Siasatan Jenayah Umum Polis Wilayah Jawa Barat, Pesuruhjaya Kanan Surawan berikutan harga bagi seorang bayi hampir mencecah 16 juta Rupiah (RM4,177)
"Ibarat pre-order, bayi sudah dipesan sejak dalam kandungan lagi. Kos persalinan turut ditanggung sepenuhnya sebelum diserahkan kepada keluarga angkat.
"Harga bagi setiap bayi dianggarkan pada 11 Juta Rupiah (RM2,873) hingga 16 Juta Rupiah (RM4,177)," katanya.
Setakat ini, kira-kira enam bayi daripada keseluruhan 24 orang yang dikenal pasti nyaris menjadi mangsa.
Lima diantaranya dari Pontianak, Kalimantan Barat sementara seorang lagi berasal dari Tangerang berjaya diselamatkan pihak polis dalam serbuan pada Isnin.
Susulan itu, Polis Wilayah Jawa Barat menjalinkan kerjasama dengan Bahagian Perhubungan Antarabangsa Polis Negara bagi tindakan selanjutnya.
"Pihak kami masih berusaha mencari jalan untuk mengesan keberadaan bayi-bayi yang lain untuk dibawa pulang," tambahnya. -Agensi