suria

Lelaki mabuk tak tahan diganggu salakan anjing tendang budak autism hingga jatuh

Suspek menendang kanak-kanak autism sudah ditahan polis. -Foto Facebook

SEORANG pemuda ditahan kerana menyerang seorang kanak-kanak lelaki autism berusia tujuh tahun dengan menendangnya hingga jatuh.

Lelaki berusia 35 tahun itu juga menyerang ibu saudara mangsa apabila wanita itu cuba campur tangan, sebelum lelaki itu melarikan diri.

Kejadian berlaku pada pukul 4.15 petang Isnin di luar sebuah gedung membeli-belah di Bo Sang, Chiang Mai, Thailand.

Ibu kanak-kanak itu dalam laporan polis menyatakan seorang lelaki menendang anaknya dengan ganas dan kemudian menyerang adik perempuannya yang berusia 25 tahun.

Polis meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan menjejaki suspek ke sebuah kawasan perumahan berdekatan.

Suspek kemudian ditangkap pada pukul 6.30 petang pada hari yang sama.

Lelaki yang hanya dikenali sebagai Ek, memberitahu polis bahawa dia telah minum arak dengan banyak dan hilang kawalan selepas diganggu oleh anjing liar yang menyalak.

Dia mengaku menyerang kanak-kanak dan ibu saudaranya, yang kebetulan lalu di situ pada masa kejadian. 

Ek didakwa melakukan serangan fizikal dan diserahkan kepada penyiasat untuk prosiding undang-undang selanjutnya.-Agensi

 

Artikel Lain