DISYAKI menjadi buruh paksa, empat kanak-kanak ditemukan dalam keadaan menyayat hati setelah dirantai di luar rumah dan hanya diberikan ubi kayu rebus sebagai makanan harian.
Tindakan keji seorang warga emas berusia 65 tahun mula dihidu setelah cubaan salah seorang mangsa untuk mencuri dana daripada tabung sebuah masjid tidak kesampaian.
Sewaktu kejadian, suspek yang kebetulan tiada di rumah 'membuka jalan' kepada kanak-kanak berusia 11 tahun untuk menyelinap keluar.
Bagaimanapun, dia ditahan warga setempat di Andong, Boyolali, Indonesia sekitar pukul 1.30 pagi Ahad akibat kelakuan yang mencurigakan.
"Setelah mengambil tabung amal, dia keliru bagaimana hendak membukanya. Dia mundar-mandir sehinggalah menimbulkan syak wasangka, lalu diekori dan disergah penduduk.
"Katanya nak beli nasi untuk adiknya, kerana sudah sebulan tidak makan," dedah Ketua Kampung Mojokerto, Bagus Muhammad Muksin.
ARTIKEL BERKAITAN: Rantai Anak: Ibu Bapa Direman
Setelah menghantarnya pulang, alangkah terkejutnya mereka melihatkan tiga kanak-kanak yang lain sedang tidur di luar rumah tanpa sebarang alas serta kakinya dirantai.
"Sewaktu diberi makan nasi dan telur, tak sampai tiga minit habis," tambahnya.
Difahamkan, dia dan adiknya berusia 6 tahun berasal dari Batang merupakan anak yatim, sementara dua lagi berusia 11 dan 14 tahun berasal dari Suruh, Semarang masih memiliki orang tua.
"Masing-masing sudah pun bekerja di situ selama hampir dua tahun. Mereka tiada pertalian keluarga, boleh jadi ia modus operandi suspek untuk mengerah mangsa mencari bantuan," ujar Muhsin lagi.
Kesemua mangsa diberikan perlindungan sementara sebelum dihantar pulang ke rumah masing-masing dan suspek dipanggil ke Balai Polis Andong untuk memberikan keterangan.
"Kes masih lagi berada dalam siasatan. Saat ini pihak kami sudah melakukan pemeriksaan terhadap suspek serta beberapa orang saksi," kata Ketua Polis Boyolali, AKBP Rosyid Hartanto. -Agensi