SIAPA sangka kecanggihan Kecerdasan Buatan (AI) seperti ChatGPT pun boleh membantu siasatan kes jenayah.
Demikian situasi yang berlaku baru-baru ini apabila sepasukan polis berjaya menjejak suspek kes langgar lari hanya berpandukan serpihan kecil pada satu bahagian kenderaan, dengan bantuan teknologi AI.
Terdahulu, pasukan polis yang menyiasat lokasi kemalangan yang mengakibatkan dua nyawa terkorban, hanya menjumpa satu serpihan kecil kereta dipercayai milik suspek.
Susulan itu, serpihan berkenaan dihantar untuk analisis lanjut oleh pegawai penyiasat di Balai Polis Kumphawapi, Wilayah Udon Thani dekat Thailand.
Pasukan terbabit kemudiannya memuat naik gambar serpihan tersebut ke ChatGPT untuk mengenal pasti jenis model kenderaan.
ChatGPT langsung memberikan jawapan terperinci dengan menyatakan ia berkemungkinan bahagian hadapan bonet atas dari Toyota Hilux Vigo Champ.
Maklumat terperinci model tahun 2011–2015 turut diberikan bersama nombor alat ganti 52113-0K140.
Berdasarkan info berkenaan, polis berjaya mengecilkan skop siasatan dan mengenal pasti kenderaan sebenar menerusi rakaman kamera pengawasan sehingga akhirnya suspek diberkas.
Kejayaan itu kemudiannya dikongsikan salah seorang penyiasat di laman Facebook, Dom Sirichai sehingga menjadi tular.
Rata-rata netizen kagum dan memuji kepintaran pihak polis memanfaatkan teknologi AI dalam menjalankan siasatan. -Agensi