POLIS menahan seorang lelaki selepas dipercayai membunuh anak tiri perempuannya berusia empat tahun pada Selasa.
Kanak-kanak malang itu dilaporkan hilang pada Isnin dan ibunya, Nazia segera membuat laporan polis pada hari sama.
Menurut polis Nazia hadir ke balai ditemani suami baharunya dikenali sebagai Imran Shaikh bagi membuat laporan berkenaan.
Kanak-kanak perempuan yang maut itu dikenali sebagai Amaira Shaikh dan kejadian berlaku di Mumbai, India.
Polis memaklumkan sejurus menerima laporan kehilangan, pihaknya memulakan siasatan.
"Apabila pasukan polis tiba di kediamannya untuk melakukan soal siasat, Imran bertindak melarikan diri
"Setelah meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV), didapati kanak-kanak perempuan itu berjalan bersama Imran pada malam Isnin," kata polis.
Tambah polis, Imran dipercayai mencekik Amaira sehingga mati dan membuang mayatnya ke laut.
Kejadian itu terbongkar apabila mayat kanak-kanak perempuan itu ditemui terapung di laut berhampiran Sassoon Dock di selatan Mumbai.
Polis berkata, berdasarkan siasatan didapati bahawa itu adalah perkahwinan ketiga Nazia manakala perkahwinan kedua Imran.
"Amaira adalah anak perempuan Nazia dari perkahwinan keduanya.
"Imran tidak senang Amaira tinggal bersama mereka. Tambahan pula, Amaira memanggilnya ayah, panggilan yang dia tidak suka," katanya. -Agensi