suria

Gadis 19 tahun bersalin dalam bas... Buang bayi ke luar tingkap, teruskan perjalanan bersama kekasih

Membuang bayi termasuk dalam perbuatan jenayah. -Gambar hiasan

SEORANG gadis yang melahirkan bayi lelaki ketika dalam perjalanan menaiki bas bertindak mencampak bayi itu ke luar tingkap, pada Selasa lalu.

Tindakan gadis berusia 19 tahun itu bersama seorang lelaki yang didakwa suaminya, mengakibatkan bayi itu meninggal dunia.

Kejadian berlaku pada pukul 6.30 pagi di Jalan Pathri-Selu di daerah Parbhani, Maharashtra di India.

Gadis itu dikenali sebagai Ritika Dhere, manakala lelaki yang didakwa suaminya bernama Altaf Shaikh.

Menurut polis, Dhere dilaporkan bersalin dalam bas dan pasangan itu kemudian membalut bayi tersebut dengan kain dan membuangnya keluar dari tingkap bas.

Pemandu bas yang menyedari ada sesuatu dibuang dari kenderaan terus bertanya kepada pasangan itu, namun Shaikh memberi alasan bahawa isterinya muntah akibat mabuk perjalanan.

Orang awam yang memeriksa bungkusan tersebut menjumpai bayi yang masih hidup namun cedera sebelum menghubungi talian kecemasan 112.

Pasukan peronda polis kemudian menahan bas tersebut sebelum menangkap kedua-dua suspek untuk siasatan lanjut.

Soal siasat awal mendapati pasangan itu mengaku membuang bayi kerana tidak mampu membesarkannya. 

Bayi itu bagaimanapun disahkan meninggal dunia akibat kecederaan selepas dibuang ke jalan raya.

Menurut polis, walaupun mereka mendakwa sudah berkahwin, namun tiada dokumen rasmi dikemukakan untuk mengesahkan hubungan mereka.

Dhere kemudian dihantar ke hospital bagi mendapatkan rawatan.

Kes disiasat di Balai Polis Pathri di bawah Seksyen 94(3) dan 94(5) Bharatiya Nyaya Sanhita berkaitan perlindungan kelahiran dan pelupusan mayat bayi secara rahsia.

Satu notis telah dikeluarkan kepada suspek dan siasatan lanjut sedang dijalankan.-Agensi

 

Artikel Lain