PEMPENGARUH Sam Chui melangsungkan perkahwinan di dalam sebuah pesawat Boeing 747-400 ketika ia terbang pada ketinggian 8,534 meter di ruang udara Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Sam dan pasangannya, Fiona Pang diraikan dengan penuh meriah ketika pesawat itu terbang merentasi Teluk Oman selama 90 minit.
Pesawat komersial itu diubah suai sepenuhnya untuk majlis tersebut dengan kira-kira 100 tempat duduk ditanggalkan bagi menyediakan ruang berjalan, kawasan tarian, tempat memotong kek dan menyampaikan ucapan.
Pesawat itu berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Fujairah, yang mana para tetamu mendaftar masuk menggunakan pas khas dan berpeluang menjelajah setiap bahagian termasuk kokpit, dek atas dan ruang rehat kru.
Pasangan pengantin bebas memilih venue perkahwinan mengikut kemampuan mereka. -Gambar hiasan
Pempengaruh itu menyewa pesawat khas milik Aquiline International, dengan kos bahan api sahaja dianggarkan melebihi RM94,000 sejam, tidak termasuk kos katering, dekorasi dan caj lapangan terbang.
Sehingga kini, Sam tidak mendedahkan jumlah perbelanjaan keseluruhan majlis berkenaan.
Pemilihan Boeing 747-400 itu mempunyai makna tersendiri buat pasangan itu kerana Fiona pernah menjalani latihan sebagai pramugari untuk pesawat model berkenaan.
Sam pula sememangnya dikenali sebagai pempengaruh yang membina kerjaya dengan menghasilkan kandungan berkaitan dunia penerbangan.
Majlis itu pada asalnya dijadualkan berlangsung pada April lalu, namun ditangguhkan atas sebab peribadi. -Agensi.