suria

Murid rebah, meninggal dunia sebelum sempat jamah bekal waktu rehat... Disyaki kena serangan jantung

Pelajar bernama Prachi Kumawat dilaporkan meninggal dunia kerana serangan jatung. -Foto NDTV

SEORANG murid perempuan berusia sembilan tahun meninggal dunia secara mengejut semasa waktu rehat di sekolahnya, dalam kejadian pada pagi Selasa.

Memetik media tempatan, murid yang dikenali sebagai Prachi Kumawat, pelajar Sekolah Adarsh Vidya Mandir, di bandar Danta, dekat Jaipur, India dilaporkan sihat ketika hadir ke sekolah pada waktu pagi.

Namun pada waktu rehat, dia yang sedang duduk dan membuka bekal makanannya tiba-tiba pengsan.

Para guru segera memberikan bantuan dan membawanya ke Pusat Kesihatan Komuniti berdekatan. 

Menurut pasukan perubatan, mereka telah berusaha sedaya upaya untuk menyelamatkan Prachi namun murid berkenaan tidak menunjukkan tanda-tanda positif selain tekanan darahnya sangat rendah dan dia mengalami kesukaran bernafas, iaitu gejala yang menyerupai serangan jantung.

Prachi kemudian dikejarkan ke sebuah hospital yang lebih besar di Sikar, namun disahkan meninggal dunia tidak lama kemudian.

Keluarga mangsa yang terkejut dengan kejadian berkenaan memutuskan tidak mahu melakukan bedah siasat dan membawa pulang jasadnya untuk upacara pengebumian. -Agensi

Artikel Lain