suria

Lima lelaki bersenjata ceroboh hospital, tembak mati penjenayah sedang dirawat dalam wad

Imej daripada rakaman CCTV menunjukkan sekumpulan lima lelaki bersenjata yang menceroboh masuk ke dalam bilik seorang pesakit dan menembaknya.

SUASANA di sebuah hospital bertukar kecoh selepas lima lelaki bersenjata menceroboh masuk dan menembak mati seorang pesakit yang juga merupakan penjenayah dikehendaki dalam kejadian mengejutkan awal pagi Khamis.

Insiden yang berlaku di Hospital Paras, dekat Patna, India itu dirakam jelas menerusi kamera litar tertutup (CCTV) hospital. 

Rakaman menunjukkan lima lelaki berjalan santai di koridor wad sebelum memasuki bilik pesakit, melepaskan beberapa das tembakan ke arah mangsa sebelum melarikan diri.

Mangsa dikenali sebagai Chandan Mishra, dilaporkan sedang menjalani rawatan selepas dibebaskan dari tahanan atas faktor kesihatan.

Mishra merupakan seorang penjenayah tegar yang mempunyai puluhan rekod jenayah lampau termasuk kes pembunuhan.

Menurut pihak polis, serangan tersebut dipercayai dilakukan oleh geng penjenayah yang merupakan musuh mangsa.

"Mangsa sedang dirawat di hospital ketika kejadian. Dengan bantuan polis Buxar, kami sedang mengenal pasti geng penjenayah iaitu kumpulan Chandan Sheru," kata Penguasa Kanan Polis,  Kartikay Sharma kepada media.

Chandan Mishra disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah yang dialaminya.

Polis turut memaklumkan bahawa siasatan sedang dijalankan termasuk kemungkinan wujudnya pihak yang bersubahat, terutamanya membabitkan pengawal keselamatan hospital yang didakwa gagal menghalang pencerobohan itu. -Agensi

 

Artikel Lain