SEORANG remaja lelaki dilaporkan dihalau keluar dari rumah oleh ibu bapanya selepas keputusan peperiksaannya dianggap kurang cemerlang untuk melayakkannya memasuki universiti berprestij.
Remaja tersebut yang dikenali sebagai Xiaokai, dari Hunan, China baru sahaja menamatkan pengajian di sekolah menengah dan telah menduduki 'Gaokao', iaitu peperiksaan kemasukan universiti yang amat penting di negara tersebut, pada Jun lalu.
Difahamkan, Xiaokai memperoleh markah 575 daripada 750 dan ibu bapanya menganggap markah tersebut tidak layak untuknya memasuki Double First-Class Universities, yang terdiri daripada 39 institusi terkemuka di negara tersebut.
Xiaokai terpaksa menghubungi saluran TV Hunan untuk mendapatkan bantuan selepas mendapati dirinya tidak dapat masuk ke rumah apabila kod laluan pintu telah ditukar tanpa pengetahuannya.
Ibu bapanya juga didakwa memutuskan semua bentuk sokongan kewangan terhadapnya.
Dalam satu panggilan telefon yang dirakam, Xiaokai bertanya kepada ibunya mengapa dia tidak dibenarkan pulang.
Ibu remaja itu hanya menjawab bahawa dia berada di luar atas urusan kerja dan tidak mengetahui kod laluan baru pintu rumah.
"Jangan minta bantuan kami. Semasa kamu di sekolah menengah, kamu tidak belajar bersungguh-sungguh. Kamu tidak mematuhi peraturan kami. Tidak ada tempat di dunia tanpa peraturan, bukan?" kedengaran suara ibunya dengan nada tegas.
Sementara itu, bapa remaja tersebut pula memberikan dua pilihan kepadanya, sama ada kembali ke rumah dan patuh kepada ibu bapa, atau keluar dan berdikari dengan mencari pekerjaan sendiri.
Insiden tersebut mencetuskan perbincangan hangat warga maya mengenai tekanan melampau yang diletakkan ke atas pelajar dalam sistem pendidikan negara berkenaan. -Agensi