SEORANG wanita diperintah membayar pampasan sebanyak Dh30,000 (kira-kira RM38,700) selepas didapati menghina individu lain di media sosial.
Keputusan itu dibuat oleh Mahkamah Tuntutan Keluarga, Sivil dan Pentadbiran Abu Dhabi.
Defendan juga diperintahkan menanggung semua kos guaman dan perbelanjaan berkaitan kes berkenaan.
Berdasarkan laporan, kes bermula apabila plaintif memfailkan saman sivil, mendakwa defendan menghinanya dengan meninggalkan komen kejian di gambar-gambarnya.
Malah defendan juga didakwa menghantar mesej peribadi melalui aplikasi media sosial berunsurkan penghinaan.
Kejadian itu turut mencetuskan kes jenayah berasingan yang membawa kepada sabitan kesalahan.
Mangsa juga mendakwa tindakan defendan menyebabkan kesan emosi dan psikologi teruk terhadap dirinya.
Susulan itu, dia menuntut pampasan sebanyak Dh150,000 (RM193,500) atas kerugian moral dan material, selain meminta defendan membayar kos mahkamah dan yuran peguam.
Mahkamah mengesahkan bahawa defendan menggunakan bahasa menghina melalui saluran komunikasi elektronik.
Mahkamah turut menjelaskan bahawa wujud kerosakan moral termasuklah gangguan terhadap maruah, emosi, reputasi atau kehormatan seseorang.
Merujuk kepada Undang-Undang Transaksi Sivil UAE, mahkamah menyatakan: “Sesiapa yang menyebabkan kerugian kepada orang lain wajib membayar pampasan atas kerosakan tersebut.”
Sebagai hasil keputusan itu, mahkamah menganugerahkan pampasan Dh30,000 (RM38,700) kepada plaintif atas kerosakan moral, mengiktiraf penderitaan emosi yang dialaminya.
Namun, tuntutan bagi kerugian material ditolak kerana plaintif gagal mengemukakan bukti kewangan yang mencukupi. -Agensi