SEORANG pelajar tahun tiga di sebuah universiti mengejutkan ramai apabila melahirkan bayi seberat 4.5 kilogram di bilik asrama.
Pada masa kejadian, dia hanya ditemani rakan sebilik yang terjaga selepas menghidu bau darah yang kuat.
Kejadian berlaku di Hubei, China.
Berkongsi cerita, rakan sebiliknya berkata suasana sedikit mengejutkan kerana dia melihat selimut kapas dibasahi dengan darah.
Pada masa sama, rakannya yang baru berusia 20 tahun berada dalam keadaan kesakitan untuk bersalin.
Susulan itu, dia terus menghubungi talian kecemasan bagi mendapatkan bantuan.
Namun bayi sudah selamat dilahirkan sebelum pasukan perubatan tiba.
Saiz bayi yang besar membuatkan doktor dan pasukan perubatan terkejut seterusnya mengklasifikasikannya sebagai 'bayi gergasi'.
Pemeriksaan lanjut ke atas pelajar terbabit mendapati terdapat koyakan teruk berlaku ketika kelahiran.
Ia juga berpunca daripada rutin hariannya yang kurang bersenam dan amalan semasa hamil.
Doktor terbabit bagaimanapun meyatakan, keadaan bayi dan pelajar terbabit berada dalam keadaan stabil dan pendarahan berjaya dikawal di hospital.
Dalam pada itu, ibu muda terbabit menyatakan dia ingin menamatkan peperiksaan akhir semesternya sebelum ke hospital.
Tambahan pula, dia tidak menyangka bayinya akan lahir secepat itu.
“Malam tu, lampu dorm dah ditutup dan semua orang dah tidur. Saya di katil atas.
"Tiba-tiba rasa sakit perut, saya fikir masih sempat dan rancang untuk ke hospital pada pagi esok tapi rupa-rupanya bersalin terus,” jelasnya. -Agensi