suria

Empat beradik rentung dekat tingkap rumah, gagal keluar lepas ditimpa siling

Api yang marak mengorbankan empat kanak-kanak berusia antara tiga hingga 13 tahun. -Foto detikcom

EMPAT orang adik beradik ditemui rentung manakala ibu bapa mereka terselamat selepas rumah dua tingkat yang didiami terbakar pada awal pagi Sabtu.

Kejadian dilaporkan berlaku di Tebet, Jakarta Selatan, Indonesia.

Menurut Ketua Sub-Badan Bomba dan Penyelamat Jakarta Selatan, Syamsul Huda, seramai 76 anggota serta 20 unit jentera pemadam api dikerahkan ke lokasi kejadian.

Ujarnya, kesemua mangsa terlibat berusia antara tiga hingga 13 tahun.

"Mereka cuba menyelamatkan diri melalui tingkap, namun cedera ditimpa siling rumah yang tiba-tiba runtuh.

"Ibu bapa mereka pula berjaya menyelamatkan diri, situasi yang panik membuatkan kedua-dua mereka terlupa menyelamatkan mangsa yang kemudiannya terperangkap dalam kebakaran," ujarnya.

Kebarakan dipercayai berpunca daripada litar pintas dan jumlah kerugian dianggarkan sekitar Rp 674 juta (RM175,335).

Dalam pada itu, saksi kejadian yang dikenali sebagai Hendri berkata, dia melihat kepulan asap hitam ketika keluar dari rumah.

"Orang tua mangsa berjaya melompat keluar tetapi tidak kelihatan panik untuk menyelamatkan anak mereka," tambahnya. -Agensi

Artikel Lain