SEORANG guru lelaki ditahan pihak berkuasa selepas didakwa membuat rakaman video lucah dan melakukan gangguan seksual terhadap pelajar bawah umur.
Kes itu terbongkar apabila 23 orang pelajar tampil membuat laporan polis terhadap guru berusia 59 tahun itu yang kini digantung tugas.
Kejadian berlaku di daerah Chittorgarh, Rajasthan di India.
Menurut pihak polis, suspek dipercayai mengeksploitasi pelajar selama lebih dua tahun, dengan mengugut mereka akan gagal dalam peperiksaan jika memberitahu sesiapa tentang perbuatannya.
Keadaan menjadi kecoh apabila satu rakaman video perlakuan guru itu tular, baru-baru ini.
"Melihat video tersebut, saya rasa dia bukan guru tetapi iblis,", kata Menteri Pendidikan Rajasthan, Madan Dilawar.
Beliau menegaskan kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap guru tersebut yang disifatkan menyalahgunakan kuasa dan mencemari dunia pendidikan dengan menganiaya kanak-kanak yang tidak berdosa.
Pendedahan kes bermula apabila seorang pelajar enggan ke sekolah dan meminta ibu bapanya untuk berpindah ke pusat pengajian lain.
Setelah disiasat, pelajar itu akhirnya menceritakan pengalaman ngeri yang dialaminya di sekolah.
Keluarga mangsa yang terkejut segera memaklumkan perkara tersebut kepada penduduk kampung.
Keesokan harinya, penduduk kampung berhimpun di sekolah dan mengadakan protes, malah cuba untuk mengunci bangunan sekolah sebagai tanda bantahan.
Keadaan berjaya dikawal selepas campur tangan pegawai kerajaan dan pasukan polis yang tiba di lokasi.
Jurucakap polis memaklumkan bahawa mangsa terdiri daripada pelajar lelaki dan perempuan berusia antara enam hingga 16 tahun.
"Kami telah menahan suspek dan mendakwanya di bawah Akta POCSO, Akta SC/ST, Kod Jenayah Nasional India (BNS), Akta Teknologi Maklumat dan Akta Kanak-Kanak.
"Kami akan pastikan dia menerima hukuman yang setimpal," jelas pegawai berkenaan.
Kes ini menimbulkan kemarahan orang ramai serta gesaan kepada pihak berkuasa agar memperketatkan pemantauan di institusi pendidikan, demi menjamin keselamatan dan kesejahteraan pelajar. -Agensi