SEKUMPULAN saintis mendapati rawatan kemoterapi boleh mencetuskan kebangkitan semula sel kanser dormant.
Ia sekali gus menyebabkan penyebaran kanser (metastasis) ke organ lain walaupun tumor asal berjaya dirawat.
Penemuan itu diterbitkan dalam jurnal Cancer Cell pada 3 Julai lalu, hasil kajian bersama oleh penyelidik dari Akademi Sains China (CAS), Universiti Fudan dan Hospital Qilu, Universiti Shandong.
“Kami menunjukkan bahawa ubat kemoterapi seperti doxorubicin dan cisplatin meningkatkan pertumbuhan serta metastasis paru-paru daripada sel kanser payudara yang dormant,” tulis pasukan itu.
Kajian tersebut menjelaskan bagaimana kemoterapi menyebabkan sel fibroblas menjadi senescent (tua pramatang) dan mengeluarkan bahan yang mengaktifkan neutrofil untuk membentuk ‘perangkap’ (neutrophil extracellular traps).
Tindak balas itu menjadikan paru-paru persekitaran sesuai untuk sel kanser dormant kembali aktif.
Penyelidik turut berpandangan bahawa penggunaan ubat senolitik (seperti dasatinib dan quercetin) bersama kemoterapi berjaya mengurangkan sel senescent dan menghalang metastasis pada tikus.
Satu ujian klinikal fasa II kini sedang dijalankan bagi menilai keberkesanan gabungan ini dalam merawat kanser payudara jenis triple-negative.
“Kajian ini beri bukti langsung bahawa kebangkitan sel dormant menyumbang kepada metastasis akibat kemoterapi, dan membuka peluang strategi rawatan baru bagi pesakit kanser,” jelas pasukan tersebut.
Untuk maklumat, kanser payudara jenis triple-negative ialah bentuk penyakit invasif dan agresif yang tidak boleh dirawat dengan terapi hormon biasa yang digunakan untuk membantu merawat kanser tersebut. -Agensi