suria

Tangga terlalu sempit, suri rumah minta bantuan bomba tolong ‘angkut’ peti sejuk ke tingkat dua

Bomba membantu seorang suri rumah 'mengangkut' peti sejuk ke tingkat dua rumahnya. -Foto Detikcom

RAMAI yang beranggapan bahawa tugas utama seorang anggota bomba hanyalah memadam kebakaran di lokasi kejadian.

Namun sebenarnya, profesion ini turut memainkan peranan penting dalam melaksanakan pelbagai misi kemanusiaan.

Kali ini, seorang suri rumah buntu bagaimana hendak membawa naik sebuah peti sejuk yang baru sahaja dibeli ke tingkat atas rumahnya.

Susi Sudewi, 47, menyifatkan laluan tangga ke tingkat dua rumahnya di Kompleks Perumahan Griya Asri Permai, Banjarsari, Indonesia terlalu sempit sekali gus menjadikan hasratnya tidak kesampaian.

Dia kemudian memutuskan untuk meminta pertolongan daripada Balai Bomba berdekatan.

Ketua Balai Bomba di Agensi Ketenteraman Awam (Satpol PP) Ciamis, Fery Rochwandi berkata, pihaknya bersiap siaga berkhidmat kepada mereka yang memerlukan.

"Meskipun bukanlah misi memadamkan kebakaran, ianya sebahagian dari misi kemanusiaan. Maka, kami sedia membantu," jelasnya.

Menurutnya, kes menyelamatkan haiwan, membuka cincin yang tersekat sehinggalah kerja-kerja teknikal seperti menurunkan papan iklan antara permintaan yang seringkali diterima. -Agensi

Artikel Lain