SEORANG jurulatih bola sepak di sebuah institusi pengajian tinggi didakwa memaksa para pelajarnya untuk menderma darah atas alasan 'eksperimen kampus'.
Kejadian yang dipercayai berlaku dalam kelab bola sepak wanita di National Taiwan Normal University (NTNU) mula 'kantoi' susulan mangsa yang dikenali sebagai Jian tampil memberikan kenyataan.
'Kononnya' tertakluk sebagai kredit akademik, mereka berdepan risiko tidak melepasi syarat untuk bergraduasi atau diberhentikan pengajian sekiranya didapati ingkar.
"Pada hari kelapan, mereka tidak lagi mampu mengesan urat pada mana-mana lengan.
"Mereka turut cuba pergelangan tangan saya, namun gagal. Sangat menyeksakan, setelah enam kali cubaan barulah berjaya," dedahnya.
Difahamkan, dia telah pun menjalani lebih 200 sesi derma darah sepanjang pengajian.
Sesi yang diuruskan oleh kakitangan bukan profesional itu melibatkan sampel berterusan sehingga 14 hari, iaitu sebanyak tiga kali sehari bermula pukul 5.00 pagi ke 9.00 malam.
"Kalaulah mendiang ayah tahu, mesti dia pergi bersemuka dengan jurulatih itu. Saya hanya tidak mahu mengecewakan mereka," luahnya terkilan.
Suspek, Zhou Tai-ying, 61 dikatakan turut mengaut 'subsidi' kajian yang diperuntukkan khas untuk peserta yang terlibat atas alasan 'dana pasukan'.
Susulan itu, pihak universiti dalam kenyataan rasminya pada 13 Julai lalu memberi jaminan bahawa jurulatih terbabit akan dipecat selain digantung tugas menyelia sebarang aktiviti sukan.
Setakat ini, motif tindakan suspek masih lagi belum dikenal pasti ekoran dirinya enggan ditemu bual oleh agensi tempatan. -Agensi