SEORANG lelaki berusia 54 tahun ditemui mati di luar rumahnya dalam keadaan tergantung.
Turut ditemukan di lokasi kejadian adalah sepucuk surat bertulis tangan yang meminta supaya mayatnya dikebumikan di sebelah ibunya.
Kejadian dilaporkan berlaku di Udon Thani, Thailand.
Menurut Leftenan Polis Sirichai Photichak, mangsa turut menyusun tiga botol bir kosong, makanan ringan, telefon bimbit dan lima utas jam tangan di atas meja berhampiran surat berkenaan.
"Surat yang ditinggalkan turut memperincikan bagaimana harta yang ditinggalkan harus dibahagikan kepada ahli keluarga," tambahnya.
Terdahulu, mayat mangsa ditemui oleh jirannya yang ingin membuka pintu depan.
Seorang jiran, Toktak berusia 31 tahun, berkata, semasa membuka pintu depan untuk adiknya, dia melihat 'sesuatu' yang luar biasa di seberang jalan.
"Saya tak tahu apa yang dia lakukan untuk menyara kehidupan, dia hidup dalam kesunyian dan enggan didekati.
"Tapi dia seolah-olah mahu orang mencarinya," ujar Toktak.
Dalam pada itu, bekas isterinya yang turut tiba dengan air mata, mendedahkan bahawa mereka telah berpisah lebih tiga tahun.
Perpisahan itu menyebabkan kesihatan mental bekas suaminya merosot dengan cepat.
Mereka sebelum ini menjalankan perniagaan sup beras bersama-sama dan mengumpul sekitar 7 hingga 8 juta baht (RM900,000 hingga RM1 juta), namun ia musnah selepas penceraian berlaku.
"Dia terus bercakap tentang mahu mati.
“Selepas bercerai, dia kehilangan segala-galanya, malah dia terpaksa meminjam 200 atau 300 baht (RM26 hingga RM39) daripada orang ramai,” tambahnya.
Sementara itu, saudara-mara percaya pelaburan yang gagal dalam pasaran saham adalah tamparan terakhir, menyebabkan dia mengalami tekanan dan putus asa. -Agensi