PENDUDUK kampung digemparkan dengan satu insiden pembunuhan kejam susulan penemuan mayat seorang lelaki tanpa kepala, dipercayai dibunuh isteri sendiri.
Kejadian dilaporkan berlaku di Kampung Paramasan Atas, Kabupaten Banjar dekat Kalimantan Selatan, Indonesia.
Menurut ketua kampung yang dikenali sebagai Ihsan, kejadian berlaku pada Rabu minggu lalu.
"Kejadiannya berlaku di kawasan pendulangan emas dalam hutan yang terletak kira-kira satu jam berjalan kaki dari penempatan penduduk. Lokasi ini juga bersempadan dengan Kabupaten Tanah Bumbu dan Kotabaru," ujarnya.
Menurut Ihsan, kejadian terbongkar apabila suspek yang merupakan isteri mangsa, tampil menyerah diri kepada pihak berkuasa dalam keadaan berlumuran darah bersama anak kecilnya.
"Dia datang ke pondok pendulangan emas dalam keadaan lemah dan tidak dapat memberikan keterangan jelas pada awalnya. Keluarganya pada mulanya menyangka dia dianiaya oleh suaminya," jelas Ihsan.
Namun, selepas wanita berkenaan meminta keluarganya mengambilkan beg dan selipar di dalam hutan, mereka menemui jasad seorang lelaki yang dikenal pasti sebagai suami wanita itu, dalam keadaan tanpa kepala.
Polis kemudian menahan suspek untuk siasatan lanjut.
"Suspek merupakan penduduk asal kampung ini, manakala identiti mangsa kurang dikenali kerana difahamkan pasangan itu baru sebulan mendirikan rumah tangga," tambah Ihsan.
Motif pembunuhan dipercayai berpunca daripada kemarahan suspek setelah mendakwa suaminya bertindak mencampak anak kecil mereka ke sungai berdekatan lokasi kejadian.
Bagaimanapun, kanak-kanak dalam lingkungan usia dua tahun itu terselamat tanpa mengalami sebarang kecederaan.
Kes kini dalam siasatan pihak berkuasa. -Agensi