SEORANG warga Amerika Syarikat berusia 61 tahun meninggal dunia selepas dia ditarik ke dalam mesin MRI gara-gara memakai rantai logam seberat sembilan kilogram.
Insiden tragis itu berlaku pada 16 Julai lalu di Nassau Open MRI, sebuah kemudahan perubatan di Long Island di New York.
Menurut polis Daerah Nassau, McAllister yang memakai rantai besi seberat kira-kira 9 kilogram memasuki bilik Pengimejan Resonans Magnetik itu, tanpa kebenaran.
Pada masa sama, mesin itu sedang beroperasi.
Susulan itu, rantai lehernya ditarik kuat oleh medan magnet MRI yang menyebabkan dia turut 'direntap' ke dalam mesin sehingga mengakibatkan kecederaan maut.
Lebih menyedihkan apabila insiden menyayat hati itu disaksikan sendiri oleh isterinya, Adrienne Jones-McAllister.
Berkongsi cerita dengan wartawan, ujarnya, dia melihat detik suaminya ditarik dengan ganas ke arah pengimbas.
Mengakui terkejut dengan kejadian itu, dia segera meminta mesin ditutup dan menghubungi 911 untuk bantuan kecemasan.
Pada masa sama, dia dan seorang juruteknik cuba menarik keluar suaminya dari mesin, namun daya magnet terlalu kuat.
Suaminya disahkan meninggal dunia akibat kecederaan dialami pada keesokan harinya di hospital.
Untuk rekod, kecederaan dan kematian yang melibatkan mesin MRI telah dilaporkan beberapa kali sebelum ini.
Pada 2001, seorang kanak-kanak lelaki berusia 6 tahun maut apabila tangki oksigen logam ditarik ke dalam mesin semasa dia menjalani imbasan.
Kejadian sama menimpa seorang lelaki di India pada 2018 apabila dia memasuki bilik MRI sambil membawa tangki oksigen.
Pada 2023, seorang jururawat di California 'remuk' dan memerlukan pembedahan selepas dia tersepit di antara mesin MRI dan katil hospital yang telah ditarik ke arah mesin oleh daya magnet yang kuat. -Agensi