suria

Wanita bersalin di rumah kerana kampung tiada akses jalan raya, seorang bayi kembar meninggal dunia

Video memaparkan wanita berkenaan diusung menggunakan tandu untuk mendapatkan rawatan menjadi tular. -Foto Indiatoday

SEORANG wanita terpaksa melahirkan bayi kembarnya di rumah kerana ketiadaan akses kepada ambulans dan kemudahan jalan raya. 

Malangnya, salah seorang bayi kembar tersebut dilaporkan meninggal dunia hanya beberapa jam selepas dilahirkan.

Kejadian dilaporkan berlaku di Kampung Dhani, daerah Singrauli, dekat Madhya Pradesh. 

Wanita bernama Gallu Devi itu bersalin lewat petang Isnin di kediamannya. 

Keluarganya tidak mempunyai pilihan lain selain menguruskan proses kelahiran di rumah berikutan kampung mereka yang terpencil serta tiada jalan yang boleh dilalui kenderaan.

Keesokan harinya, keadaan Gallu Devi semakin memburuk dan penduduk mengusung wanita tersebut dengan menggunakan tandu sementara yang diperbuat daripada katil bayi, meredah kira-kira dua kilometer kawasan berlumpur untuk ke jalan utama yang terdekat. 

Sebuah beca kemudiannya digunakan untuk membawanya ke pusat kesihatan masyarakat di bandar berdekatan.

Seorang bayi Gallu Devi yang terselamat, dengan berat kurang daripada satu kilogram disarankan untuk dirujuk ke hospital bagi mendapatkan rawatan lanjut. 

Namun begitu, keluarga wanita berkenaan dilaporkan memilih untuk pulang dan tidak meneruskan rawatan di hospital.

Difahamkan, pasukan perubatan melakukan lawatan susulan ke rumah keluarga berkenaan untuk memantau keadaan Gallu Devi dan bayinya.  

Insiden tersebut mengundang perhatian ramai selepas video Gallu Devi diusung tular di media sosial. 

Rata-rata pengguna media sosial meluahkan rasa marah dan kecewa terhadap kegagalan sistem kesihatan awam dan infrastruktur asas di kawasan pedalaman. -Agensi

Artikel Lain